Noh, Ernie dan Atilia hangatkan konsert Payung Teduh x Sore - Utusan Malaysia

Noh, Ernie dan Atilia hangatkan konsert Payung Teduh x Sore

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga artis tanah air, Noh Salleh, Ernie Zakri dan Atilia Haron bakal menghangatkan Konsert Senandung Malam – Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) di Mega Star Arena, malam esok.

Penganjur konsert tersebut, Neptunes Present, Nabila Huda berkata, Noh akan membuat persembahan secara duet sebanyak dua lagu bersama kumpulan Sore.

“Mereka akan berduet lagu Musim Ujan dari album Sorealist dan satu lagi lagu masih dirahsiakan. Itu adalah kejutan buat peminat yang akan datang menyaksikan konsert ini.

“Noh dipilih oleh kumpulan Sore kerana sering berkongsi mengenai muzik sejak dulu. Malah muzik dimainkan oleh Noh juga seakan-akan sama dengan muzik kumpulan Sore,” katanya yang juga seorang pelakon.

Kongsi anak rockers terkenal, Datuk Amy Search itu lagi, pemilihan Ernie juga dilihat bersesuaian kerana karakter suara yang kena dengan tema dan lagu yang akan didendangkan pada malam konsert.

“Ernie juga akan mendendangkan dua lagu Payung Teduh, Mari Bercerita dan Berdua Saja. secara duet yang tidak pernah dibawakan secara ‘live’ di Malaysia.

“Malah, ini juga merupakan persembahan duet kali pertama Payung Teduh dengan artis tempatan,” ujarnya.

Manakala, pemilihan Atilia sebagai artis jemputan diputuskan oleh kumpulan Sore sendiri.

“Atilia adalah artis tempatan pertama yang dipilih Sore dan dia juga bakal mendendangkan dua lagu pada malam konsert. Lagu apa? Rahsia,” kongsi Nabila.

Berkongsi penjualan tiket setakat ini, kata Nabila, hampir 50 peratus tiket terjual sejak hari pertama dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

“Jualan tiket belum mencapai tahap maksimum mungkin kerana lambakan konsert yang agak banyak. Neptunes Present berharap peminat Payung Teduh dan Sore akan datang menyaksikan persembahan mereka yang mantap.

“Sore dan Payung Teduh juga akan ditemani Agal Muzik Ensemble, pemuzik orkestra tempatan bagi mewarnai persembahan pada 30 September ini,” katanya.

Untuk rekod, Payung Teduh yang pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar), manakala Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad adalah bekas vokalis Payung Teduh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN