PETALING JAYA: Kadar jurutera dan saintis di negara ini masih jauh daripada yang disasarkan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2030.
Berdasarkan laporan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sehingga Disember 2022, terdapat sekitar 187,900 jurutera berdaftar secara rasmi dengan 172,900 daripada jumlah itu adalah jurutera siswazah, 5,900 profesional dan 9,100 profesional dengan sijil amalan.
Malaysia juga masih tidak mencapai sasaran 500,00 tenaga kerja sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berkemahiran tinggi yang disasarkan dicapai menjelang 2020.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, peluang dalam bidang kecerdasan buatan, automasi, elektrifikasi, sains data, pengkomputeran awan dan percetakan tiga dimensi (3D) sedang berkembang pesat di seluruh dunia.
Bagaimanapun, katanya, banyak laporan menunjukkan bahawa Malaysia masih memerlukan lebih ramai saintis, jurutera dan ahli teknologi untuk mengisi pekerjaan kritikal ketika negara memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Data terkini 2022 menunjukkan nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia pula adalah pada kadar 1:170. Kadar ini adalah agak rendah berbanding dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Perancis pada nisbah 1:100. Malaysia memerlukan penambahan sekurang-kurangnya satu kali ganda lagi jumlah jurutera ke arah mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
“Selain itu, berdasarkan rumusan Tinjauan Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kebangsaan 2021 yang baru-baru ini diterbitkan kementerian, DSTIN 2013 – 2020 menyasarkan 70.00 penyelidik per 10,000 tenaga kerja.
“Namun, (negara) hanya dapat mencapai 33.42 (penyelidik per 10,000 tenaga kerja) atau 53,205 (penyelidik) pada 2020. Tahun 2020 menunjukkan penurunan yang ketara dalam nombor penyelidik per 10,000 tenaga kerja dan yang terendah dalam sedekad yang lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, negara sememangnya memerlukan ramai bakat berkemahiran tinggi seperti jurutera dan saintis bagi membangunkan sektor R&D serta teknologi bagi mencapai sasaran menjelang 2030 itu.
Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai jurutera dan saintis, sektor ekonomi juga perlu menyediakan peluang-peluang yang akan mengguna pakai kemahiran dan bakat ini.
“Sebagai contoh, industri perlu bergerak dari operasi berasaskan buruh (labour intensive) kepada automasi berasaskan teknologi tinggi. Jika tidak, masalah yang sedang dihadapi oleh negara ketika ini, iaitu brain drain akan bertambah runcing jika pendekatan yang lebih holistik iaitu menaik taraf sektor industri dan sektor ekonomi negara tidak ditangani dengan segera,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan bidang STEM turut memerlukan perubahan dan fokus dalam memberikan pendidikan yang menepati tonggak IR4.0 kerana sistem pendidikan negara berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan sumber manusia yang memiliki kemahiran sesuai dengan revolusi tersebut.
Ujarnya, kajian oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) juga menunjukkan penurunan minat dalam sains bagi kalangan pelajar kepada 40 peratus pada 2022 berbanding 66.7 peratus pada 2019.
“Satu Jawatankuasa Khas STEM bersama Kementerian Pendidikan dan pihak-pihak yang berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi juga akan ditubuhkan bagi menilai semula inisiatif dan dasar sedia ada berkaitan pembelajaran STEM di Malaysia seterusnya merangka agenda bagi memperkasa bidang STEM Negara untuk tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” katanya.
Di peringkat kementeriannya, Lih Kang berkata, pihaknya amat komited dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk memupuk minat para pelajar dan belia terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI) menerusi program Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics.
Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti STI yang diperkenalkan lebih berfokus untuk memupuk dan meningkatkan minat terhadap STI serta menggalakkan penghasilan idea inovasi.
Selain itu, katanya, kedua-dua inisiatif itu bermatlamat untuk mencungkil bakat rakyat Malaysia terutamanya daripada peringkat sekolah sehingga belia khususnya dalam daya kreativiti bagi penghasilan idea inovasi berteraskan teknologi terkini.
“Antara teknologi yang sedang berkembang pesat adalah teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang banyak digunapakai dalam bidang perniagaan dan beberapa industri yang berkaitan.
“Melihat kepada kepentingan teknologi ini kepada negara, antara pengisian aktiviti dan pertandingan Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics turut menekankan aspek teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, pengekodan, pengkomputeran, dron dan banyak lagi sebagai wadah dan pendedahan awal bagi para pelajar dan belia dalam teknologi pesat ini,” katanya. -UTUSAN










