Muhammad Azmin Hakimi Perajurit Muda Terbaik TUDM - Utusan Malaysia

Muhammad Azmin Hakimi Perajurit Muda Terbaik TUDM

MUHAMMAD Azmin Hakimi Mohd Adzmi (kanan) menerima Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan dan Fradza Anak Nita menerima Anugerah Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik Siri 66/2023 pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha keras dan disiplin ketat selama enam bulan akhirnya berbaloi bagi Muhammad Azmin Hakimi Mohd. Adzmi, 20, apabila muncul sebagai Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan pada latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Siri 66/2023.

Anak bongsu kepada pasangan Mohd. Adzmi Razali, 59, dan Noraini Harun, 61, berkata, dia gembira dengan kejayaan itu dan menyifatkan ia sebagai anugerah yang cukup bermakna untuknya.

“Saya memang meminati kerjaya dalam pasukan beruniform. Bagi saya, bidang ini lain daripada lain dan memberi saya peluang untuk lebih mencabar diri dan kemampuan.

“Tambahan lagi dalam adik-beradik, kebanyakannya terlibat dalam sektor awam, jadi ini mendorong saya untuk cuba pula bidang berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan yang disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan di Akademi Tentera Udara di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 387 perajurit muda selesai menjalani tiga fasa latihan bermula 6 Mac hingga 8 September lalu membabitkan asas ketenteraan, akademik dan pembentukan sahsiah diri.

Sementara itu, Fradza Anak Nita, 20, yang diumumkan sebagai Perajurit Muda Akademik Terbaik berkata, kejayaan itu menjadi bukti kesungguhannya kepada keluarga untuk menyertai pasukan beruniform.

Katanya, dia juga mahu menjadi contoh yang baik kepada dua adiknya agar berusaha sehabis baik untuk mencapai cita-cita.

“Saya bersyukur kerana keluarga terutama ibu bapa sangat menyokong cita-cita saya untuk sertai pasukan beruniform. Berkat doa dan dorongan mereka, saya berjaya menamatkan latihan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Asghar Khan dalam ucapannya berkata, kerjaya sebagai anggota tentera adalah berbeza berbanding kerjaya lain kerana ia merupakan satu amanah yang perlu digalas dengan penuh tangungjawab, semangat jitu dan kesabaran yang tinggi.

“Walau apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang, tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara adalah perkara yang perlu dititikberatkan.

“Kecuaian mahu pun kesilapan yang berlaku boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru itu, saya menyeru kepada perajurit muda udara supaya sentiasa berusaha meningkatkan ‘attitude, skill and knowledge’ kepada tahap yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN