MSAM-Aliff Walk tarik penyertaan hampir 5,000 orang - Utusan Malaysia

MSAM-Aliff Walk tarik penyertaan hampir 5,000 orang

ACARA MSAM-Aliff Walk yang diadakan di Setia Fontaines, Bertam, Pulau Pinang pagi tadi mendapat sambutan yang hangat apabila hampir 5,000 peserta mengambil bahagian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Hampir 5,000 peserta mengambil bahagian dalam acara larian sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang diadakan dengan kerjasama syarikat minyak masak, Alif di Setia Fontaines, Bertam di sini, pagi tadi.

Dikenali sebagai MSAM-Aliff Walk, acara larian itu bukan sahaja menarik kehadiran peserta dari Pulau Pinang, tetapi dari negeri lain termasuk Kedah.

Menurut penganjur, acara tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu lima kilometer (km) jalan kaki atau Fun Walk dan 10 km larian atau Non-Competitive Run.

Katanya, selain penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, acara berkenaan juga disertai oleh keluarga termasuk kanak-kanak dalam suasana semangat kesukanan yang tinggi.

“Acara dimulakan dengan larian 10 km kira-kira pukul 6.30 pagi, diikuti oleh acara lima km berjalan kaki 30 minit kemudian dengan kedua-dua kategori dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi.

“Hadir menyaksikan acara tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Rosmin Yaakob,” katanya di sini, hari ini.

Turut hadir ialah wakil daripada PNB iaitu Timbalan Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Datuk Mohd. Nizam Zainordin; Ketua Pegawai Strategi, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee dan Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Nimmi Kamal.

Secara keseluruhannya, MSAM-Aliff Walk menawarkan sehingga 1,000 hadiah cabutan bertuah dan pelbagai barangan MSAM untuk dimenangi.

Hadiah utama bagi cabutan bertuah itu iaitu sebuah motosikal jenis Honda Vario 160 dimenangi oleh Norlyza Mat Zain, 47, yang berasal dari Tasek Gelugor, dekat sini.

MSAM merupakan Karnival Literasi Kewangan Terbesar di Malaysia yang dianjurkan oleh PNB sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyemai kesedaran tentang perancangan kewangan bijak selain menanam tabiat suka menyimpan sejak kecil.

Bagi pengunjung yang tidak dapat untuk melawat gerai pameran di Bertam, mereka juga boleh mengikuti kemeriahan program digital secara langsung di media sosial rasmi MSAM iaitu Facebook (https://www.facebook.com/MingguSaham AmanahMalaysia) serta Youtube (https://www.youtube.com/@MingguSahamAmanahMalaysia). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya