KOTA KINABALU: Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Mohd. Sirhajwan Idek sekali lagi mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Rekod Pencapaian Belia di Jakarta, Indonesia, semalam.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli semasa Forum Perniagaan Generasi Masa Depan ASEAN iaitu salah satu acara sampingan Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di sana.
Pencapaian itu adalah pengiktirafan kedua yang diterima oleh guru berkenaan selepas melakar sejarah sebagai orang Asia pertama memenangi Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa di Paris pada 2017.
Hasil pencapaian yang dicipta itu, Kementerian Belia dan Sukan mencalonkan Mohd. Sirhajwan bagi kategori berkenaan.
“Pengiktirafan ini memberi satu makna yang besar kepada saya dan ia membolehkan saya memartabatkan lagi profesion perguruan sebagai satu kerjaya yang penting dalam mendidik generasi muda,” katanya.
Anugerah yang julung-julung kali diadakan oleh Persatuan Belia Asia Tenggara, GenYouth itu memberi pengiktirafan kepada lapan penerima anugerah dari negara-negara Asia Tenggara.
Hasil bimbingannya juga, dua pelajarnya, Alesyah Asa dan Nurul Nazieha Jasnie, berjaya melayakkan diri sebagai 10 dan 50 finalis terbaik bagi anugerah Global Student Prize iaitu anugerah paling berprestij untuk pelajar di dunia pada 2022 dan tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup, menyatakan rasa bangga atas pencapaian Mohd. Sirhajwan.
Beliau berkata, kejayaan yang dicapai guru berkenaan akan memberi inspirasi kepada warga kolej itu untuk terus berusaha mengejar cita-cita mereka dan memberi impak positif kepada yang lain. -UTUSAN










