ALOR SETAR: Kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung kononnya terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam untuk memakai seluar pendek serta mengambil minuman keras di Langkawi adalah tidak tepat.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tidak faham mengapa isu itu perlu dibangkitkan oleh King Sing sedangkan portfolio dipegangnya memerlukan beliau untuk melonjakkan lagi industri pelancongan termasuk di pulau legenda tersebut.
Sehubungan itu katanya, King Sing dipelawa untuk hadir sendiri ke Langkawi dengan memakai seluar pendek bagi melihat sendiri keadaan di destinasi pelancongan popular tersebut.
“Tak tahulah kenapa isu ini dibangkitkan, mungkin ada orang ‘cucuk’ beliau agaknya. Saya bukan nak gaduh dengan menteri tetapi beliau seharusnya datang tengok sendiri dan bukannya dengar cakap orang lain semata-mata.
“Menteri itu boleh ‘mai’ Langkawi pakai seluar pendek sebab beliau bukan Islam dan tak ada siapa melarang pun. Sesiapa pun kalau agama mereka benarkan, pakailah tetapi tak boleh pakai sesuatu yang mencolok mata atau berbogel di pantai kerana itu tak sesuai dengan budaya kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik kenyataan King Sing berhubung perkara itu di Parlimen yang mendakwa terdapat dalam kalangan pelancong mengadu kepada kementerian itu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi.
Menurut laporan itu, King Sing dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa beberapa pegawai kerajaan dikatakan mengganggu pelancong mengenai etika berpakaian dan pengambilan alkohol.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau tidak merasakan kedatangan pelancong terutamanya warga asing yang berkunjung ke Langkawi semata-mata untuk menikmati minuman keras.
“Kalau pelancong ‘orang putih’, di tempat dia dah jenuh (berlambak) dengan orang mabuk dan minum arak. Mereka datang Langkawi untuk menikmati alam sekitar, Geopark dan budaya, bukan nak minum arak. Kenapa pula hal minum arak itu yang dijadikan masalah,” soalnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan King Sing membangkitkan isu tersebut seolah-olah menongkah arus dan boleh menjejaskan industri pelancongan di pulau tersebut.
“Beliau jaga pelancongan tetapi apabila isu itu dibangkitkannya, itu akan jejaskan pelancongan. Beliau telah buat kerja menongkah arus sedangkan perkara itu tak berlaku.
“Itu bukan kerja Kementerian Pelancongan. Seeloknya beliau mai tengok di Langkawi ini dan itulah kerja yang patut dilakukan, bukan pi jerkah pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya. –UTUSAN