Memang ‘sebiji’ macam The Beatles - Utusan Malaysia

Memang ‘sebiji’ macam The Beatles

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Difahamkan, ada banyak sahaja band-band di United Kingdom ( UK) yang menubuhkan band dengan menjadikan kumpulan rock legenda dunia, The Beatles sebagai inspirasi. 

Lebih signifikan kerana The Beatles yang ditubuhkan pada tahun 1960 adalah berasal dari tanah Inggeris sendiri iaitu di Liverpool, UK.

Apabila mereka kemudiannya ‘menggila’, mencipta fenomena menerusi pakej rupa paras, karya-karya lagu yang hit dan ‘berhantu’ serta pelbagai aspek istimewa lain dari kaca mata peminat, The Beatles seolah-olah tidak terkalahkan. 

Bahkan, kehadiran John Lennon, Paul McCartney, George Harrison dan Ringo Starr ketika itu sebenarnya telah memberikan impak besar dalam industri seni muzik secara global, yang mana, ia juga pada awalnya merupakan sesuatu yang tidak dijangkakan mereka sendiri. 

Sehingga kini, populariti The Beatles sebenarnya tidak pernah pudar walaupun telah berdekad lama perpecahan mereka terjadi, dengan John dan George juga telah meninggal dunia. 

Dikatakan mempunyai persamaan yang ketara dari sudut penampilan dan gaya persembahan muzik, The Mersey Beatles, sebuah kumpulan era baharu muncul memeriahkan industri seni muzik antarabangsa sejak 20 tahun lalu. 

Sama seperti The Beatles, kumpulan yang dianggotai oleh Mark Bloor, Steven Howard, Brian Ambrose dan Craig McGown masing-masing menggunakan impersonasi John, Paul, Ringo dan George.

Fakta menarik, mereka juga berasal daripada Liverpool dan bergelar band residen di kelab terkenal dunia, The Cavern Club, lokasi yang sama ketika The Beatles mula bergerak dalam industri seni 60 tahun lalu. 

Kehebatan The Mersey Beatles dalam memberi impersonifikasi sebagai setiap anggota The Beatles juga tidak kurang hebatnya. Boleh dikatakan, kumpulan itu bagaikan telah ‘dihidupkan’ semula!

Membawa tuah jenama sendiri, The Mersey Beatles kemudiannya mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak untuk bergerak mengadakan konsert jelajah dunia dan Malaysia adalah salah satu daripadanya. 

Menyaksikan persembahan mereka menerusi Konsert Jelajah Come Together yang dibawakan oleh Yolo Malaysia di ibu negara baru-baru ini, empat jejaka Inggeris ini membuktikan bahawa mereka bukan sekadar mahu dikaitkan dengan The Beatles.

Bahkan, untuk dikatakan mereka 100 peratus ‘meniru’ John, George, Paul dan Ringgo juga tidak adil kerana sudah tentu barisan lagenda itu sudah memikiki takhta tersendiri di hati peminat. 

Ya, ia tidak akan menjadi benar-benar sama. Tetapi, Mersey Beatles benar-benar menghidupkan muzik dan lagu-lagu The Beatles, sekurang-kurangnya dalam menghiburkan peminat yang masih ada termasuk bagi generasi baharu yang ingin melihat bagaimana fenomena rock era 60-an dan 70-an meledak ketika itu.

Hadir membuat persembahan di Menara Ken, TTDI selama dua hari, difahamkan konsert itu juga diadakan sempena meraikan Ulang Tahun ke-60 kumpulan lagenda rock tersebut.

Rambut palsu dan persisnya imej

Membawakan 35 buah seleksi lagu hits daripada kumpulan The Beatles, empat jejaka ini bijak mengatur susunan lagu mengikut perubahan era muzik, sekali gus bagaikan memindahkan penonton dari satu latar era ke satu era yang berbeza. 

Transportasi masa itu dibuat dengan menyediakan set persembahan yang berbeza yang merangkumi imej dan busana yang sama dipakai oleh empat anggota The Beatles yang asal. 

Ini termasuk bagaimana mereka berinisiatif menggunakan rambut palsu masing-masing, menyerlahkan lagi ‘watak’ mereka sebagai John, George, Paul dan Ringgo.

Permainan muzik dan gaya persembahan pula, saling tak tumpah, membuatkan penonton bagaikan terpukau bahkan percaya bahawa The Beatles itu masih ada.

Sesekali berasa lucu juga dek tertanya, agaknya rambut palsu yang dipakai memang dari kualiti yang mahal. Ini kerana walaupun beraksi lincah, rambut palsu yang dikenakan tidak berganjak dan tetap utuh. Terbaik.

Untuk persembahan lagu, antara yang disenaraikan dalam konsert Come Together The Mersey Beatles ini ialah I Saw Her Standing There, Love Me Do, Please Please Me,She Loves You, All My Loving, I Want To Hold Your Hand, Hard Days Night, Help, Eight Days a Week dan Yesterday.

Bagi set kedua pula di mana era penghujung 60-an mula mengambil alih, lagu-lagu yang dimainkan adalah termasuk In My Life, Eleanor Rigby, Twist and Shout, Sgt Peppers Lonely Heart, With The Little Help From My Friends, Hello Goodbye, All You Need Is Love dan Yellow Submarine. 

Lagu hits lain yang turut dimainkan ialah Lady Madonna, Here Comes The Sun, Let It Be, Come Together, Get Back, Hey Jude dan juga Can’t Buy Me Love.

Pendek kata, kehadiran The Mersey Beatles tempoh hari, nyata telah mengubat kerinduan peminat lama dan baharu yang ingin menyaksikan ‘band’ tersebut kembali menggegar industri muzik antarabangsa. 

Meskipun dijayakan cuma dalam skala yang kecil dan intim, boleh dikatakan, seramai 1500 penonton yang hadir berpuas hati dengan persembahan daripada empat jejaka unik ini. 

Paling tidak, semuanya dapat bergembira menari dan menyanyi bersama The Mersey Beatles, sambil mengenang nostalgia lama seiring malar segarnya lagu-lagu kumpulan rock legenda dunia ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN