SHAH ALAM: Literasi kewangan majoriti rakyat Malaysia dilihat semakin baik apabila bijak menguruskan hutang bank dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, hal ini dibuktikan pada tahun lalu apabila purata skor CTOS rakyat adalah 678 mata.
“Melalui laporan CTOS, apa yang boleh saya lihat adalah rakyat Malaysia semakin celik untuk menguruskan kredit (pinjaman) dengan pihak bank.
“Apabila mereka mempunyai kredit yang baik, maka, mudah bagi mereka untuk membuat sebarang pinjaman dengan pihak bank,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara CTOS Data System Sdn. Bhd. (CTOS Data System) dengan Kekal Impian Sdn. Bhd. (Kekal Impian) di hotel DoubleTree by Hilton, di sini, hari ini.
Menurutnya, jumlah skor tersebut dianggap sudah baik, mengambil kira pembukaan semula semua sektor ekonomi pada tahun lalu selepas Malaysia terpalit dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun.
Oleh demikian, beliau mengunjurkan skor CTOS Malaysia pada tahun ini pada 700 mata dan optimis skor itu dapat diperoleh sekiranya trend pengurusan kredit semakin baik.
Dalam pada itu, Hamburger menyasarkan sebanyak 3.3 juta pengguna akan mendaftar sebagai pengguna CTOS menjelang akhir tahun ini.
“Ketika ini, pengguna CTOS adalah berjumlah tiga juta pengguna dan kita jangka jumlah mereka yang akan berdaftar dalam sistem ini semakin meningkat.
“Kami akan terus mendidik rakyat negara ini untuk terus mempunyai kredit yang baik sehingga akhir hayat mereka.
“Paling penting, bayar segala pinjaman hutang bank tepat pada waktunya supaya tidak ada penambahan bunga (interest) pada bulan seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN