CALON Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya dilabel sebagai ‘calon luar’ oleh lawan memandangkan pakar perubatan itu berasal dari Johor Bahru, Johor.
Beliau berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman yang dilihat mempunyai kelebihan selaku anak tempatan, selain pernah menabur bakti sebagai jurutera di Majlis Perbandaran Muar (MPM) hampir 30 tahun.
Meskipun Simpang Jeram berstatus kerusi DUN Johor tidak seperti kerusi Parlimen Pulai yang membawa kesan langsung kepada majoriti di Dewan Rakyat, tumpuan lawan dilihat lebih terarah di sini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP, Mohd. Mazri berkongsi pandangannya selepas mengharungi tempoh seminggu berkempen.
UTUSAN: Bagaimana penerimaan pengundi terhadap PN khususnya Pas dalam PRK kali ini?
MOHD. MAZRI: Saya dapati masyarakat di Simpang Jeram ini kalau saya bandingkan dengan 2018 dengan kali ini jauh berbeza. Pengundi lebih terbuka dan saya rasa kalau penerimaan seperti ini, kemungkinan untuk PN menang dalam PRK pada 9 September itu agak cerah. Saya harap momentum ini akan diteruskan dan kerja kuat daripada pendukung parti di semua peringkat dapat memberi sedikit motivasi kepada saya dan PN.
Sebagai pakar perubatan, Dr. dilihat lebih terarah menjadikan kaedah rumah ke rumah sebagai medium berkempen. Adakah lebih berkesan membantu kemenangan PN?
Kita ada tetapkan beberapa cara dalam berkempen dan lawatan rumah ke rumah salah satu daripadanya. Jadual yang kami susun melibatkan penggunaan media sosial dan ada juga kita buat ceramah umum atau ceramah kelompok. Jadi kita akan gunakan semua prasana dalam berkempen sebaik mungkin sebab tempoh berkempen cuma dua minggu.
Bagaimana Dr. melihat kenyataan dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan mengelak ‘kebanjiran’ Pas di Johor?
Benda itu sebenarnya berlaku bersama, kita menyedari gelombang ini masih wujud dan gelombang ini sudah melanda Selatan tanah air. Pada masa yang sama kita menyedari bahawa dalam Barisan Nasional (BN), terdapat tiga kelompok iaitu kelompok yang bersama Presiden parti menyokong PH, kelompok kedua lebih mesra kepada PN dan kelompok ketiga yang tidak akan keluar mengundi. Di Johor, saya dapat lihat secara realitinya bahawa kelompok kedua ini agak besar iaitu mereka lebih mesra kepada PN dan tidak bersetuju dengan Presiden parti.
Adakah Ahmad Zahid berasa sokongan BN di Johor mula goyah, sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Saya tak boleh komen pendapat dia sebab saya tak tahu apa dalam pemikiran dia, cuma saya rasa apa yang perlu setakat ini ada beberapa kelemahan dan kami berjaya juga ada beberapa kekuatan. Saya percaya kekuatan itu lebih mudah untuk diterima oleh masyarakat di Simpang Jeram.
Adakah Dr. berasa bakal menjadi tumpuan sama seperti senario dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu?
Saya rasa tidak begitu sebab ini merupakan dua PRK satu di DUN dan satu lagi Parlimen Pulai. PRK ini menjadi tumpuan seluruh negara, berlaku di Johor tetapi dapat perhatian di Malaysia. Semua jentera parti tidak kira daripada PH, BN atau PN akan menumpukan dalam gerak kerja parti masing-masing. Di Pulai saya dapat lihat juga jentera-jentera BN berada di sana. Saya tak fikir benda itu berlaku dan tidak menyambung aura Muhammad Sanusi ke sini. -UTUSAN










