MUKADIMAH
TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd. Syahbuddin Hashim menjadi satu-satunya wakil Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos apabila berjaya mempertahankan kerusi Galas yang disandangnya.
Beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim dari Pakatan Harapan (PH) kini menjadi wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri.
Dari segi senioriti, beliau dilihat sebagai individu yang paling layak menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang berpandukan kepada pengalaman berada di DUN Kelantan pada penggal lalu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia YATIMIN ABDULLAH, Mohd. Syahbuddin berkongsi aspirasinya untuk menjadi pembangkang yang berkesan dalam DUN Kelantan.
UTUSAN: Galas hampir pasti diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan selaku individu paling ‘senior’ untuk penggal ini.
MOHD. SYAHBUDDIN: Insya-Allah gabungan kerjasama dan pengalaman antara pimpinan tertinggi BN-PH akan dapat membantu kami di DUN Kelantan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Saya akan berusaha menjadi perantaraan terbaik antara rakyat dengan Kerajaan Kelantan di DUN nanti.
Berdepan dengan barisan kerajaan yang dilihat sudah berpengalaman di DUN Kelantan, bagaimana peranan yang akan mainkan sebagai semak dan imbang?
Pertama kami akan melihat dari segi dasar serta polisi kerajaan negeri.
Kedua, pelaksanaan program-program yang dibuat oleh kerajaan negeri menerusi pembentang belanjawan dan sebagainya. Pada masa sama, kami turut melihat perancangan masa depan kerajaan negeri adakah menepati cita rasa atau aspirasi rakyat.
Kami bimbang, program itu bersifat ‘syok sendiri’ sedangkan keperluan utama rakyat tidak ditangani dengan bijaksana.
Ramai yang melihat Galas dan Kota Lama hanya membawa suara ‘minoriti’ kepada rakyat negeri ini.
Sekurang-kurangnya ada suara…namun harus diingat semua angka bermula satu dengan dua. Makanya satu atau dua kerusi yang sekarang ini amat penting untuk diketengahkan.
Suara ini kita tengok dari mana, satu di Kota Bharu dan Gua Musang. Maka ini suara bandar dan luar luar bandar, sekiranya kerajaan negeri memandang enteng pada pandangan yang bakal diberikan nanti, silakanlah…
Sidang DUN Kali ini menyaksikan Pas membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga. Adakah ini baik untuk rakyat Kelantan.
Sebenarnya ia bukan perkara baharu (majoriti dua pertiga) kerana pada penggal lalu mereka (Pas Kelantan) sudah membentuk kerajaan dengan majoriti itu.
Kami melihat pertambahan kerusi itu merupakan ujian buat gabungan BN-PH di Kelantan. Secara peribadi saya tidak terkejut dengan keputusan itu kerana mereka sudah kukuh, tambahan pula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah menjelaskan keputusan 14-0 iaitu Perikatan Nasional (PN) menang semua 14 kerusi parlimen telah gambarkan suara rakyat.
Namun saya terkilan dalam tempoh lapan bulan, selepas PRU-15 keputusan rakyat Kelantan masih lagi berubah secara ‘total’, ini merupakan kerja berat buat kami, untuk memastikan rakyat yakin dengan kempimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim-PH) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi-BN).
Galas jadi kayu ukur Kerajaan Perpaduan di Kelantan?
Setuju dan saya harap Kerajaan Perpaduan bertindak sedemikian. Baru-baru ini saya sudah mengemukakan pandangan kepada Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob bagi merealisasikan beberapa manifesto BN-PH yang boleh dilaksanakan di Galas dan Kota Lama.
Ini bagi memberi keyakinan kepada rakyat Kelantan, walaupun BN-PH tidak dapat mentadbir Kelantan, namun kami dapat melaksanakan tawaran menerusi manifesto lalu. Sebagai contoh anak-anak yang dapat masuk ke universiti diberikan RM3,000 dan beberapa perkara lagi.-UTUSAN