ALOR SETAR: Hanya dengan caj antara RM5,000 hingga RM7,000 setiap seorang, pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar dipercayai mampu memasuki negara ini melalui laluan darat dan laut di Kedah untuk mencari pekerjaan.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, polis berjaya menumpas lima sindiket pemerdagangan manusia dalam operasi sepanjang Ogos dan September ini sekali gus menahan 47 migran dan 12 ahli sindiket terbabit di Kubang Pasu dan Langkawi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati warga Myanmar yang sudah lama menetap di negara ini mendalangi kegiatan tersebut yang melibatkan sindiket di Langkawi.
“Aktiviti penyeludupan ini sangat membimbangkan ekoran sektor pekerjaan yang semakin rancak dan Kedah dilihat menjadi pintu masuk migran melalui sempadan Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu sebagai laluan darat.
“Melalui jalan laut, sindiket jadikan Langkawi sebagai tempat transit setelah mendarat di sekitar pantai di Tanjung Rhu dan Ayer Itam. Mereka akan dibawa ke rumah transit sebelum diseludup ke tanah besar menggunakan feri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Polis (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Tambahnya, penahanan kesemua suspek termasuk ahli sindiket yang mempunyai kerjasama dengan ejen di Yangon, Myanmar dilakukan dalam operasi dari 18 Ogos hingga 7 September lalu di sempadan Bukit Kayu Hitam dan Terminal Feri Kuah di Langkawi.
“Kesemua migran ini berusia antara 15 hingga 50 tahun yang ditahan bersama ahli sindiket pemerdagangan tersebut berusia antara 30 hingga 40 tahun.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. Kejayaan ini adalah salah satu usaha polis Kedah untuk menumpas kegiatan penyeludupan di sempadan,” katanya.
Tambah beliau, polis juga merampas enam kenderaan pelbagai jenis yang dipercayai digunakan oleh ahli sindiket untuk mengangkut PATI berkenaan dari sempadan.
“Dalam serbuan di Jitra juga, polis berjaya menemukan sepucuk pistol jenis Revolver 38. bersama enam peluru hidup serta 3,762 biji pil kuda, heroin seberat 0.49 gram serta syabu seberat 693 gram,” katanya. -UTUSAN










