Lima lagi dicekup kes tembak depan kedai - Utusan Malaysia

Lima lagi dicekup kes tembak depan kedai

S. VIJAYA RAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seramai lima lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes seorang individu maut ditembak di hadapan premis kedai di Jalan Hamzah Alang, Kapar di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan pihaknya di sekitar Kapar antara pukul 11 malam hingga 5 pagi tadi.

Katanya, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah tangkapan kes melibatkan enam suspek.

“Lima lelaki berkenaan dibenarkan reman selama empat hari sehingga 5 September depan. Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Tambah Vijaya Rao, pihaknya setakat ini masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau balai polis berhampiran.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kejadian melibatkan lelaki berusia 36 tahun itu disedari orang awam yang terdengar beberapa das tembakan dan kemalangan kecil.

Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira pukul 10.35 malam dan insiden tersebut berlaku di hadapan kawasan rumah kedai dua tingkat.

Siasatan mendapati mangsa memiliki 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya