GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan haiwan ternakan diserang binatang buas di Kampung Air Panas di sini hari ini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, binatang buas itu dipercayai harimau belang berdasarkan kesan tapak kaki yang dijumpai di kawasan berkenaan.
“Siasatan mendapati, bangkai lembu yang dijumpai di kawasan berkenaan akibat diserang haiwan liar dipercayai harimau belang.
“Pemantauan dan rondaan di kawasan terlibat dan yang berhampiran dilakukan anggota dari semasa ke semasa bagi mengesan keberadaan harimau itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, perangkap juga akan pasang di kawasan yang dikenal pasti sebagai langkah alternatif mengurangkan risiko serangan terhadap ternakan penduduk.
Katanya, bagi menjamin keselamatan, penduduk setempat juga dinasihatkan agar tidak bersendirian ke kebun atau hutan ketika awal pagi dan lewat malam.
“Penduduk juga dinasihatkan agar memasukkan ternakan mereka di dalam kandang. Kawalan akan terus dijalankan di sekitar lokasi dikenal pasti sehingga keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN