PETALING JAYA: Akibat dendam lama, seorang lelaki bertindak menyerang dan menetak pemandu lori dengan parang di Pandan Perdana di sini, Ampang Jaya di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, wanita berusia 40 tahun menerima mesej WhatsApp daripada suaminya berusia 43 tahun mengatakan diserang menggunakan objek tajam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berada di rumah lamanya untuk mengambil surat namun tiba-tiba diserang suspek.
Katanya, suspek berusia 28 tahun itu mendakwa tindakannya itu akibat dendam lama apabila pernah dipukul mangsa bersama rakan-rakannya.
“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang selepas mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan dua kesan tetakan di belakang badan.
“Susulan itu, pada pada 12.30 tengah malam semalam, sepasukan anggota polis Ampang membuat tangkapan terhadap suspek yang berkerja sebagai pengutip sampah di dalam kereta berhampiran Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, turut dirampas sehelai baju berwarna putih dan sebilah parang berhulu hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis Methamphetamin , AMP dan THC.
“katanya.
Tambahnya, permohonan tahanan reman ke atas suspek dibenarkan selama seminggu bermula semalam hingga 3 Oktober ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun,” katanya.- UTUSAN