Larang aktiviti perlombongan termasuk unsur REE di kawasan sensitif alam sekitar - Utusan Malaysia

Larang aktiviti perlombongan termasuk unsur REE di kawasan sensitif alam sekitar

Larang aktiviti perlombongan termasuk unsur REE di kawasan sensitif alam sekitar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri melarang perlombongan termasuk unsur nadir bumi (REE) di kawasan sensitif alam sekitar (ESA) seperti di hutan simpanan kekal.

Presiden SAM, R.Meenakshi berkata, ia adalah sebagai tindak balas kepada dasar baharu kerajaan untuk mengharamkan eksport REE bagi melindungi rantaian nilai sumber untuk membina industri pertengahan dan hiliran.

”Larangan eksport ini adalah baik kerana ia akan mengelakkan tekanan ke atas kawasan sensitif alam sekitar.

”Kami memahami logik pengharaman eksport demi kepentingan domestik, tetapi kami juga tidak menyokong perlombongan unsur nadir bumi walaupun untuk tujuan domestik terutamanya apabila sumber ini terletak di kawasan sensitif alam sekitar termasuk dalam hutan simpanan kekal dan ekosistem kepelbagaian biologi,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mengambil dasar larangan eksport bahan mentah REE bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan maksimum buat negara.

Perdana Menteri berkata, Dasar Mineral Negara baharu juga dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.

Menurut Meenakshi, sememangnya terdapat keperluan bagi kerajaan bersikap telus sepenuhnya di mana sumber unsur nadir bumi berada dan mengenakan larangan ke atas aktiviti perlombongan di kawasan sensitif alam sekitar.

”Tidak cukup dengan bercakap mengenai perlombongan secara mampan atau bertanggungjawab kerana kawasan sensitif alam sekitar mengikut definisi mestilah dilindungi sepenuhnya.

”Membenarkan perlombongan unsur nadir bumi dalam kawasan sensitif alam sekitar ini bukan sahaja akan menyebabkan kesan alam sekitar dan sosial yang teruk, ia juga bertentangan dengan dasar iklim dan biodiversiti sedia ada,” katanya.

Tambahnya, perlombongan unsur nadir bumi dalam hutan simpan adalah bercanggah dengan Akta Perhutanan Negara 1984 dan objektif Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.

Jelas beliau, kedua-dua cara perlombongan terbuka konvensional dan perlombongan larut resap setempat atau ‘in-situ’ memberikan kesan alam sekitar dan kesihatan sosial yang serius jika ia terletak di kawasan sensitif alam sekitar atau melibatkan hak tanah adat orang asal dan orang asli.

”Perlombongan larut resap in-situ masih memerlukan pembersihan satu pertiga daripada kawasan tumbuh-tumbuhan dan menimbulkan risiko yang lebih serius kepada pencemaran air bawah tanah berbanding perlombongan terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya