Konsert sulung Rossa di Sabah 8 Disember ini

Konsert sulung Rossa di Sabah 8 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hasrat Datuk Rossa mengadakan konsert di Sabah bagaikan impian yang belum pernah tercapai.

Namun, pada 8 Disember ini, impian Datuk Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani,44, untuk mengadakan konsert yang jauh dari ibu negara Malaysia itu akhirnya bakal direalisasikan.

Konsert sulung Rossa di Sabah akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selepas kejayaan konsert Another Journey: The Beginning di Kuala Lumpur dan Singapura sebelum ini.

Rossa bukan hanya akan mendendangkan lagu-lagu dalam album baharunya, Rossa Another Journey: The Beginning malah, lagu-lagu popular seperti Pudar, Terlalu Cinta, Hey Ladies dan Malam Pertama akan turut dipersembahkan dalam konsert selama dua jam itu nanti.

“Saya belum pernah mengadakan konsert di Sabah jadi, saya mahu buat hal yang tidak pernah dilakukan. Itu angan-angan lama untuk berjumpa dengan Pecinta Rossa di Sabah.

“Saya sangat teruja kerana saya tahu Sabah mempunyai pemandangan yang indah dan seafood (makanan laut) di Sabah juga segar jadi, itu nilai bonus kerana saya seorang penggemar seafood.

“Kunjungan ke Sabah kali ini amat singkat jadi, kalau berkesempatan saya mahu mengunjungi tempat-tempat menarik seperti Tanjung Aru dan Masjid Bandaraya,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara atas talian menerusi zoom meeting baru-baru ini.

Konsert sulung diva pop Indonesia di Sabah itu akan turut menampilkan artis jemputan termasuk Cakra Khan.

Tiket konsert Another Journey: The Beginning’ mempunyai lima kategori tiket yang bermula pada harga RM168 hingga RM1,668. Tiket yang dijual pada harga RM1,668 memberi peluang kepada peminat untuk sesi meet & greet serta bergambar bersama Rossa.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/rossa (Malaysia). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN