KANGAR: Datuk Surina Saad sebelum ini mencipta sejarah tersendiri sebagai Ketua Polis wanita pertama di Perlis yang mengetuai pasukan keselamatan berkenaan.
Sepanjang empat tahun mengetuai pasukan polis di negeri ini, Surina membuktikan keupayaan beliau khususnya dalam mengekang aktiviti penyeludupan ketum termasuk penyalahgunaan daun berkenaan di Perlis.
Meskipun tanggungjawab menjaga negeri yang terletak di sempadan negara Malaysia-Thailand seperti Perlis bukannya sesuatu yang mudah untuk digalas, Surina berjaya mengalas tugasan tersebut dengan baik yang selepas ini akan diteruskan oleh ketua polis baharu.
Antara tindakan lain yang dilihat paling ikonik ialah dengan langkah pembersihan ketum di kawasan Felda dengan kira-kira 1,500 pokok ketum di tiga kawasan Felda negeri ini ditebang bagi memastikan penempatan peneroka di situ tidak ‘dicemari’ kontroversi tanaman berkenaan.
Bermula Isnin ini yang juga merupakan tarikh hari lahirnya iaitu 25 September, Surina bersara wajib di usia 60 tahun selepas 34 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.
Beliau memulakan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada Disember 1989 dan kemudian dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Beliau juga merupakan pegawai paling lama berkhidmat di cawangan khas PDRM sebelum mengetuai polis negeri ini pada 2019.
Surina berkata, antara peristiwa tidak dapat dilupakan ialah membabitkan salah satu kes besar iaitu insiden tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand sekitar Padang Besar yang mengorbankan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Kita berjaya selesaikan kes berkenaan namun disebabkan ia berkaitan warga asing, kita tidak dapat membawa masuk ke Malaysia,” katanya.
Antara lain katanya, adalah sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2020.
“Saya rasa ketika itu agak mencabar kerana kita perlu fahamkan masyarakat untuk terima keadaan semasa memandangkan negara tidak pernah berdepan pengalaman sewaktu PKP. Namun kita berjaya tangani dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Surina belum mempunyai perancangan selepas bersara dan akan menghabiskan masa bersama keluarga khususnya bagi menjaga ‘syurga’ hatinya iaitu bapa yang tidak sihat. – UTUSAN









