PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan seorang bekas ahli politik yang didakwa mendera pembantu rumah warga Indonesia di Ampang Jaya di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
“Kita memanggil lelaki tersebut untuk dirakam percakapan.
“Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun terdapat beberapa arahan yang perlu diambil tindakan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk mendapatkan pertuduhan ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan susulan laporan polis diterima pada 22 Ogos lalu di Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya daripada pembantu rumah berusia 54 tahun yang telah dicederakan bekas majikannya iaitu seorang ahli perniagaan dan bekas ahli politik.
Terdahulu, Hussein mengesahkan membuka siasatan terhadap kes tersebut.
Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan bekas ketua pemuda salah satu cabang PKR didakwa mendera dengan kejam seorang pembantu rumahnya yang kini dilindungi konsulat Indonesia.
Mangsa mendakwa antara penderaan dialami ialah disuruh menanggalkan pakaian sebelum dicurah dengan air panas sebagai hukuman kerana membiarkan pintu pagar terbuka.
Selain penderaan lisan, lelaki itu didakwa tidak membayar gaji pembantu rumahnya selama empat tahun bekerja dengan lelaki terbabit.
Difahamkan laporan polis itu dibuat Ampang Jaya pada Ogos lalu. – UTUSAN