KUALA TERENGGANU : Kerajaan Terengganu akan menyelesaikan isu caj kemasukan ke Pulau Kapas yang dikatakan membebankan pelancong dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya telah berjumpa dengan pemegang taruh di Majlis Daerah Marang dan perbincangan tersebut berlangsung secara harmoni.
“Saya ambil maklum soal harga tiket bot dan pembayaran fi yang dicajkan serta setiap jalan penyelesaian akan dipermudahkan agar pengunjung tidak terbeban.
“Setiap permasalahan prasarana seperti caj tempat letak kereta, penyediaan letak kenderaan yang tidak mencukupi, tandas yang rosak dan tidak bersih, fasiliti pulau yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf serta tahap keselamatan akan diambil perhatian utama,” katanya di sini, hari ini.
Isu tersebut tular baru-baru ini apabila seorang pemilik Facebook, Farah Azianti mendakwa, terlalu banyak ‘tol’ dikenakan untuk pelancong yang datang ke Pulau Kapas.
Dalam hantaran itu, dikatakan parkir kereta juga tidak mencukupi serta keadaan tandas di Pulau Kapas tidak setara dengan caj dikenakan.
Susulan itu, ramai netizen mencadangkan kerajaan segera mengatasi perkara tersebut agar imej Pulau Kapas tidak terjejas sebagai destinasi pelancongan terkenal di negara ini.
Razali menambah, kerajaan negeri juga akan berhubung dengan kementerian berkaitan serta Kerajaan Pusat untuk berbincang lebih lanjut mengenai tindakan susulan terbaik yang akan dicapai kelak.
“Alhamdulillah, kerajaan Terengganu ambil cakna dalam isu ini dan menzahirkan terima kasih kerana memilih Pulau Kapas untuk datang bercuti dan beriadah bersama keluarga serta prihatin dalam menambah nilai fasiliti yang sedia ada,” katanya.
Beliau yang kecewa dengan situasi itu juga menyifatkan kadar ‘tol’ yang dikenakan itu adalah mahal dan tidak setimpal dengan kemudahan fasiliti yang kurang memuaskan. – UTUSAN