Kerajaan luluskan RM500 juta atasi masalah kesesakan di HSA

Kerajaan luluskan RM500 juta atasi masalah kesesakan di HSA – PM

ANWAR IBRAHIM beramah mesra dengan kakitangan dan orang ramai semasa melawat HSA Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk kerja-kerja menaik taraf fasa pertama Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini khususnya melibatkan pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan segera itu bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit-pesakit dan waris di hospital berkenaan.

Menurut beliau, jumlah peruntukan berkenaan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

“Saya lawat HSA ini kerana dapat laporan daripada Menteri Kesihatan tentang masalah berbangkit sejak puluhan tahun, iaitu tentang kesesakan. Jadi, perbincangan dibuat dan kerajaan bersetuju ambil tindakan segera meluluskan pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat.

“Fasa pertama memerlukan peruntukan setengah bilion, iaitu RM500 juta. Projek ini perlu disegerakan, kita mahu lakukan dalam tahun ini juga, sekarang (jika boleh) kerana kesesakan itu tidak boleh ditahan lagi,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di hospital berkenaan, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju dengan perancangan asal menaik taraf dan pembinaan beberapa kompleks kesihatan baharu di kawasan HSA.

“Pembinaan tempatan letak kenderaan bertingkat itu juga tidak seharusnya ganggu perancangan pembinaan semula beberapa blok kesihatan di atas tanah yang berkeluasan hampir 100 ekar (40 hektar).

“Jadi, kalau gunakan pelan asal, keluasan tanah itu mencukupi. Oleh yang demikian rancangan sekarang adalah bina beberapa kompleks bangunan bertingkat tinggi untuk penuhi keperluan. Projek ini telah terbengkalai sekian lama tanpa sebarang tindakan, bila tiba giliran saya (jadi Perdana Menteri), kita ambil tindakan segera.

“Selepas kajian pembinaan siap, kita perlu ada ‘fast track tender’, kita mahu mulakan sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan akan memberi tumpuan terhadap kerja-kerja menaik taraf HSA sedia ada terlebih dahulu sebelum berbincang tentang pelaksanaan HSA 2.

“Itu dalam rancangan kedua, kita selesaikan masalah yang mendesak terlebih dahulu kerana orang ramai sudah tidak boleh tahan sekiranya mahu tunggu hospital baharu,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN