Kerajaan akan serah semula aset TH daripada SPV - Utusan Malaysia

Kerajaan akan serah semula aset TH daripada SPV

ANWAR Ibrahim pada majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH Tun Razak hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memulakan perbincangan untuk menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) pada 2018 ketika di bawah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan yang dipegang olehnya berpuas hati dengan prestasi kewangan TH yang terus memulih.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan masalah pengurusan dan tata kelola TH selepas bergelut dengan isu kepincangan yang bermula sejak 2015.

Tegasnya, penyerahan semula aset itu membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan dipindahkan kepada SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali. 

“Selepas meneliti, saya sudah beritahu daripada awal sejak ambil jawatan ini, sebaik sahaja TH diurus dengan baik dan meyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanahkan kepada SPV.

“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Pada Disember 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV sebagai langkah untuk memantapkan kedudukan kewangannya.

Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti manakala SPV dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan Kementerian Kewangan berbincang dengan pihak yang berkenaan supaya pemindahan aset tersebut dapat dilaksanakan.

“(Kerajaan akan serah) semua aset. Kita dah mula dan arah berbincang, mungkin diambil secara berperingkat untuk pastikan pemulangannya itu baik.

“Tetapi ia sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bertahun-tahun dan berbakul-bakul fitnah mengatakan ia dijual.

“Ia tidak dijual, masih kekal dan sebagai satu amanah, sekarang (MOF) sedang berunding dari segi kos dan tanggungan semuanya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nilai semasa aset yang akan diserahkan, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, angkanya tidak boleh diumumkan lagi setakat ini.

“(Angkanya) tentu ada, sedang dibincangkan Tabung Haji, tak boleh nak umumkan lagi sebelum ia diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN