Draf akhir RMK-13 tidak dibuat tergesa-gesa

Draf akhir RMK-13 tidak dibuat tergesa-gesa

FAHMI Fadzil ketika menyerahkan sumbangan kepada penerima terpilih pada Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyediaan draf akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) tidak dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya telah melalui perbincangan dan penelitian melibatkan pelbagai kementerian sejak beberapa minggu lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, proses semakan dan penyelarasan draf RMK-13 bermula seawal dua minggu lalu selepas arahan diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua kementerian untuk meneliti draf awal yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi.

Katanya, arahan itu dikeluarkan jauh lebih awal sebelum sebarang kenyataan dibuat berkaitan perkara berkenaan.

“Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian supaya meneliti draf RMK-13 yang dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi kira-kira dua minggu lalu iaitu pada hari Rabu.

“Seterusnya pada hari Jumaat minggu berikutnya, semua kementerian diminta menghantar maklum balas bertulis kepada Kementerian Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di IWK Eco Park @ Pantai Dalam hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, satu sidang khas Jemaah Menteri turut diadakan pada awal minggu lalu bagi meneliti maklum balas kementerian-kementerian sebelum keputusan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri terakhir, Rabu lalu.

Katanya, hasil perbincangan itu menunjukkan pelbagai cadangan dan pandangan daripada kementerian yang perlu diambil kira dalam penyediaan dokumen akhir RMK13.

“Ini termasuklah permintaan dan penyesuaian yang dikemukakan oleh beberapa kementerian yang memerlukan pertimbangan lanjut daripada Kementerian Ekonomi.

“Atas dasar itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah diberi tanggungjawab menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi bagi memuktamadkan draf akhir RMK13 sebelum ia dicetak dan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan kerajaan untuk merombak semula intipati RMK13 pada saat akhir yang menurutnya berisiko menjejaskan kredibiliti dasar negara jika dilakukan secara tergesa-gesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN