KUCHING: Rombongan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka tiba di bandar raya Kuching bandar terakhir dalam siri Program Kembara Kenali Borneo.

Pasar Sentral Sibu yang terletak di wilayah tengah negeri ini menjadi lokasi terakhir persinggahan rombongan Diraja sempena Kembara Kenali Borneo ke bahagian Sibu.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah disambut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Setibanya di pasar tersebut, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyempurnakan simbolik menandatangani plak Kembara Kenali Borneo persinggahan terakhir di bahagian Sibu.
Rombongan Al-Sultan Abdullah diiringi Premier Sarawak berkenan mencemar duli mengunjungi ke beberapa gerai penjaja di situ yang terkenal dengan jualan kraftangan, kuih-muih, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan segar.
Lawatan ringkas itu bertujuan untuk menyantuni rakyat di Sarawak dengan lebih dekat, sejajar dengan matlamat utama Kembara Kenali Borneo.
Orang ramai tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan dengan bergambar dan bersalaman bersama Yang di-Pertuan Agong serta anakanda baginda.
Seusai di wilayah tengah Sarawak, Seri Paduka Baginda kemudiannya meneruskan perjalanan ke bandaraya Kuching sebelum mengakhirkan jelajahnya di Zero KM Lebuhraya Pan Borneo, Telok Melano pada esok.
Pada malam ini, Seri Paduka Baginda akan menghadiri Majlis Penutup dan Santapan Malam Kerajaan Negeri Sarawak di Hotel Pullman yang akan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dif-dif kenamaan yang lain.
Keesokan harinya (Rabu) Seri Paduka Baginda dijadualkan hadir Majlis Pecah Tanah Masjid Telok Melano sekali gus secara rasminya mengakhirkan jelajah Kembara Kenali Borneo Baginda.
Program Kembara Kenali Borneo telah menelusuri sepanjang Lebuhraya Pan Borneo berlangsung pada 3 hingga 13 September bermula di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak yang melibatkan perjalanan sejauh 2,149 kilometer. –UTUSAN