Kedah sudah umum buka kilang REE setahun lalu - Sanusi 

Kedah sudah umum buka kilang REE setahun lalu – Sanusi 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) melihat benih padi ketika hadir ke Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Smart SBBA Lembaga Zakat Negeri Kedah di Padang Lumat, Yan. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kedah menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) yang disifatkan mampu memberi impak besar kepada kemajuan negara khususnya negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri pernah membangkitkan cadangan yang sama termasuk membuka kilang REE di negeri ini sejak setahun lalu.

“Itu juga (larangan eksport REE) hasrat kerajaan negeri. Saya sudah umum setahun dahulu. Hasrat kita nak kilang buka di sini tahun lepas, sebab itu kita lambat tak apa, tak ada prosedur operasi standard (SOP) pun tak apa.

“Kita tidak kalut, yang kalut yang curi REE itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tuaian Projek Padi Benih Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Padang Lumat, di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) bahawa kerajaan akan membangunkan dasar tersebut bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber REE sekali gus menjamin pulangan yang maksimum kepada negara.

Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri juga bersedia untuk menawarkan beberapa kawasan perindustrian di negeri ini sebagai tapak pembinaan kilang REE.

“Kita sudah tawarkan beberapa kawasan tapak industri untuk pembinaan kilang REE di Gurun dekat Kuala Muda, Padang Meha dan Sungai Ular di Kulim. Kita ada tapak kawasan tanah-tanah industri milik PKNK dan swasta untuk bangunkan kilang REE di sini.

“Kedah berterima kasih di atas pengumuman dasar-dasar itu. Kawasan ini dipilih berdasarkan kedudukan yang strategik. Bila kerajaan ada keputusan macam itu, mahu tak mahu teknologi akan berpindah masuk ke sini,” jelasnya.

Menurut beliau, sehingga kini kerajaan negeri juga mendapat penawaran pelaburan daripada sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang berasaskan REE.

“Syarikat ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam menjadikan Kedah sebagai hab pemprosesan akhir produk mereka khususnya bagi pasaran Asia, Eropah dan Asia Barat.

“Dengan ini kerajaan negeri turut mempelawa syarikat-syarikat sama ada dalam dan luar negara yang berminat bagi membina kilang pemprosesan REE di Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN