BENTONG: Status Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli sebagai ahli UMNO tergugur kerana mengambil langkah bertanding Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
“Walaupun beliau jadi calon Bebas, keahlian beliau tergugur,” katanya.
Terdahulu, kehadiran calon Bebas itu yang menghantar borang pencalonan sekali gus mengesahkan desas-desus PRK Pelangai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Bermula pukul 9 pagi iaitu sejurus waktu penamaan calon mula dibuka, Haslihelmy muncul menghantar borang pencalonan di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul hari ini.
Difahamkan beliau masih menjadi ahli UMNO sehingga kini.
Seperti dijangka calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, 50, menghantar borang pencalonan bagi mempertahankan kerusi dimenangi yang parti itu sebelum ini.
Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat, 62, bagi merebut kerusi panas tersebut.
Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan PN yang masing-masing turun dengan misi wajib menang. – UTUSAN