KUALA LUMPUR: “Doakan saya cepat sembuh”
Itu permintaan pelakon cantik, Anzalna Nasir yang ketika ini dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara selepas terjatuh di rumahnya Sabtu lepas.
Anzalna ketika dihubungi hari ini memaklumkan baru selesai menjalani prosedur Pengimejan Resonan Magnet (MRI) bagi mengenal pasti sebarang kecederaan serius yang berlaku di bahagian leher.
“Sabtu lalu saya terjatuh di bilik mandi dan mengalami kecederaan di bahagian leher.
“Mujur ada keluarga di rumah selepas itu terus membawa saya ke hospital.
“Saya masih menunggu keputusan MRI dan berharap tiada perkara serius berlaku,” jelasnya.
Anzalna mencetuskan tanda tanya selepas memuat naik video menaiki kerusi roda di Instagramnya baru-baru ini.
Dalam masa yang sama pelakon cantik itu berharap orang ramai mendoakan agar dia segera sembuh dari kecederaan dialaminya.
“Saya berterima kasih kepada yang prihatin dan bertanya khabar. Doakan saya ya,” katanya lagi.