Isu tidak selesai kalau terus berbalah di media - Razin - Utusan Malaysia

Isu tidak selesai kalau terus berbalah di media – Razin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), mengalu-alukan semua pihak yang mempunyai pertanyaan atau kurang jelas dengan sebarang isu, lebih-lebih membabitkan bayaran royalti agar terus merujuk agensi tersebut untuk penjelasan.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Muhamad Razin Che Mud, 41, berkata, tindakan tersebut perlu diambil untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang membelenggu agensi, ahli dan penggiat seni di negara ini.

“Kami sebenarnya ambil maklum dengan cerita-cerita yang bukan sahaja kurang enak, malah tidak benar tentang RPM yang diperkatakan di media sosial dan arus perdana.

“Isu tidak selesai kalau kita terus berbalah di media. Justeru kami mengalu-alukan mana-mana pihak agar berhubung terus dengan kami untuk mendapatkan penjelasan mengenai apa sahaja isu yang tertakluk di bawah bidang kuasa agensi ini,” katanya.

Razin mengulas tentang isu desakan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang mahukan semua ahli lembaga pengarah RPM dan Presidennya, Datuk Sheila Majid meletak jawatan kerana pada hematnya jentera pengurusan agensi berkenaan gagal menjalankan peranan dan menyelesaikan isu berbangkit khususnya agihan royalti artis.

Dalam masa yang sama, Razin juga memaklumkan RPM akan memperbaiki dan mempertingkatkan jentera serta saluran penerangan bagi membolehkan sebarang maklumat atau penjelasan sampai kepada masyarakat.

“Sebelum ini kami bersama presiden telah mengadakan kunjungan ke pejabat Ketua Setiausaha dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menjelaskan tentang isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini. Alhamdulillah respons cukup baik dan selepas ini perbincangan lanjut akan diadakan.

“Sebenarnya tidak ada isu pun, sebab semuanya telah dijawab sebelum ini. contoh isu agihan royalti membabitkan penyanyi, Shima yang sebenarnya berlaku sedikit salah faham pada sudut aturan pengagihan. Realitinya, tidak timbul isu Shima tak terima royalti dan sebagainya.

“Yang pastinya, RPM akan terus memberi penjelasan atau mungkin akan giatkan lagi jentera penerangan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan atau dilemparkan tohmahan dan salah faham. Penyampaian maklumat akan lebih teratur dan diperkemaskan. Itu antara perkara yang akan kami perbaiki selepas ini,” jelasnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN