MELAKA: Inisiatif no right turn atau tiada belok ke kanan di beberapa persimpangan di Melaka untuk menyuraikan kesesakan trafik kritikal terutama pada waktu puncak, bakal membawa limpahan ekonomi kepada para peniaga yang beroperasi sekitar laluan alternatif dibuka kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, mengambil contoh pelaksanaan di Persimpangan Stadium Hang Jebat, pembukaan laluan baharu sekitar Taman Paya Rumput Utama dilihat berupaya merancakkan perniagaan di situ berikutan perpindahan aliran ribuan kenderaan yang akan melalui kawasan tersebut.
Jelasnya, kawasan perniagaan yang dahulunya suram kerana tidak kerap dilewati kenderaan bakal lebih dikenali selepas ini, terutama menjelang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
“Saya akan memastikan bahawa semua kaedah ini memberikan pulangan yang baik kepada semua masyarakat, khususnya pengguna jalan raya dan para peniaga di sekitar kawasan ini.
“Kita dapati kawasan yang dahulu tidak begitu ceria tetapi dengan penutupan di persimpangan dan pembukaan laluan baharu mampu melonjakkan ekonomi peniaga di kawasan ini.
“Insya-Allah kita akan ambil tempoh sebulan untuk laksanakan kajian berhubung pelaksanaan ini dan kita juga akan menilai setiap maklum balas diterima untuk memastikan kaedah ini memberi kesan kepada penduduk, peniaga dan pengguna jalan raya yang lalu di kawasan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan pelaksanaan projek rintis no right turn di Taman Paya Rumput Utama di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri akan memperkenalkan no right turn dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di persimpangan lampu isyarat terutama pada waktu puncak.
Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti sembilan persimpangan untuk pelaksanaan kaedah itu.
Tambah Ab. Rauf, projek rintis di Persimpangan Stadium Hang Jebat dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan bagi mengetahui keberkesanan dan implikasi pelaksanaannya.
Katanya, setakat ini kerajaan negeri berpuas hati dengan inisiatif berkenaan yang terbukti membantu melancarkan trafik berbanding sebelum ini, setelah lima hari ia berjalan.
“Penambahbaikan akan terus dilakukan bagi memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna jalan raya, bahkan peniaga dan penduduk di kawasan itu,” ujarnya. – UTUSAN










