Ibu tunggal hidap kanser tahap 4 rayu ahlong

Ibu tunggal hidap kanser tahap 4 rayu ah long tidak ganggu hidupnya

Foo Chi Chin (kiri) bersama Jimmy Puah Wee Tse menunjukkan salinan report polis berhubung ugutan daripada ahlong akibat anak bongsunya yang meminjam wang untuk membeli dadah dan berjudi di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, di Taman Gaya, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal yang juga merupakan penghidap kanser serviks tahap 4 enggan terus menjadi ‘penjamin’ buat anak bongsunya yang terus menerus meminjam ahlong bagi membeli dadah dan berjudi.

Foo Chi Chin, 54, yang sudah tidak bekerja sejak menghidap kanser tiga tahun lalu memaklumkan dia telah menghabiskan lebih daripada RM100,000 wang simpanannya untuk membayar pinjaman ah long.

“Anak bongsu saya, Chia June Jia, 27, telah menghisap dadah sejak dia berusia 18 tahun lagi. Sepanjang tempoh itu juga dia kerap meminjam wang bukan sahaja dengan ahlong tetapi juga daripada rakan-rakannya dan saudara mara.

“Anak saya juga telah dihantar masuk ke pusat pemulihan sebanyak dua kali, namun dia tetap tidak berubah. Setiap kali keluar daripada pusat pemulihan dia akan meminjam wang bagi membeli dadah dan berjudi.

“Kali terakhir saya bertemu dengan dia adalah lapan tahun lalu, dalam tempoh itu jika ada berkomunikasi hanya melalui panggilan telefon, itu pun kerana dia mahu meminjam wang lagi.

“Antara alasan diberi termasuklah menjadi mangsa penipuan di Thailand dan perlu membayar wang sehingga RM20,000 tahun lalu. Saya beri wang itu kerana masih rasa sayang terhadap dirinya walaupun saya tahu dia gunakan wang tersebut untuk berjudi dan beli dadah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, di Taman Gaya, di sini hari ini.

Tambah Chi Chin, dia telah berputus asa untuk terus membantu anaknya itu dan berharap ah long terlibat tidak lagi menganggu dan mengugut dirinya serta anak-anaknya yang lain.

“Saya sudah berpindah keluar daripada kediaman di Taman Desa Jaya di sini untuk duduk di kampung bersama ibu di Mersing, tetapi sesekali masih perlu ke Johor Bahru untuk menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Saya terima rawatan tersebut sebulan sekali, dan setiap kali datang ke sini saya bimbangkan keselamatan diri kerana ahlong terbabit mengugut untuk menyimbah cat, membakar rumah dan lain-lain.

“Setiap kali berada di sini (Johor Bahru), saya sentiasa berasa cemas dan susah tidur pada waktu malam kerana bimbang keselamatan diri dan keadaan rumah,” ujarnya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai.

Sehubungan itu, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Desa Cemerlang di sini, Isnin lalu dengan harapan agar ahlong terlibat tidak lagi mengganggap hidupnya dan anak-anaknya yang lain.

“Isnin lalu saya terima mesej daripada ahlong mengatakan anak saya ada membuat pinjaman baharu sebanyak RM2,000. Saya kini sudah putus asa dan tidak mahu lagi terus diganggu sedangkan sudah lama putus hubungan dengan anak bongsu, jadi saya merayu agar mereka tidak lagi ganggu kehidupan saya selepas ini.

“Harapan terakhir saya adalah agar pihak polis dapat cari dan tangkap anak bongsu saya itu untuk dihantar semula ke pusat pemulihan sehingga dia benar-benar pulih,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse memberitahu, ah long terlibat tidak mempunyai hak untuk menuntut wang daripada Chi Chin kerana ibu tunggal itu tidak menandatangani apa-apa dokumen berkaitan menjadi penjamin.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Balai berkenaan berhubung perkara ini bagi memastikan tiada lagi gangguan dibuat terhadap Puan Foo.

“Perkara ini sudah menjadi kes polis dan saya akan pastikan siasatan lanjut dibuat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya