PETALING JAYA: Selepas kemunculan pertamanya tahun lalu, penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Fiersa Besari kembali dengan konsert keduanya di Malaysia yang bakal berlangsung pada Oktober depan.
Konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur yang akan dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur membawa peminat mengembara ke sebuah persembahan yang sarat nuansa nostalgia dan apresiasi terhadap karya puitisnya.
Fiersa berkata, konsert tunggalnya itu akan membawa peminat mengimbau perjalanan karier seninya sepanjang 14 tahun menerusi pilihan lagu yang membantu memperkasakan namanya dalam industri muzik Nusantara.
“Ia termasuk lagu pilihan peminat yang jarang saya bawakan dalam persembahan pentas biasa, curahan idea dan pembabitan semua dalam menjayakan konsert ini sangat memberi erti buat saya.
“Secara peribadi, konsert ini sudah lama saya dan mungkin juga anda semua nanti-nantikan. Kita jadikan konsert ini sebagai perjalanan indah kita bersama,” katanya.
Untuk penampilan terbarunya nanti, penyanyi Garis Terdepan itu tidak bersendirian, sebaliknya ditemani dua penyanyi muda berbakat besar yang sedang mencipta pengaruh tersendiri iaitu Feby Putri dan Aisha Retno.
Tiket boleh diperoleh pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk lapan orang).
Peminat hanya perlu menggunakan kod promo: “FIERSALIVEINKL” ketika membuat pembelian menerusi ticket2u.com.my untuk menikmati diskaun 30% yang ditawarkan.