EMP projek tambak laut lulus, persediaan awal projek mula hari ini - Utusan Malaysia

EMP projek tambak laut lulus, persediaan awal projek mula hari ini

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk projek ‘Silicon Island’ bagi projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia adalah susulan daripada kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April lalu.

”Bagi pihak kerajaan negeri, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada JAS Pulau Pinang atas penilaian teliti yang telah diberikan dalam menilai serta meluluskan EMP berkaitan.

”Keputusan tersebut adalah hasil kerjasama dan usaha bersama untuk memastikan pembangunan ‘Silicon Island’ mematuhi piawai alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat.

“Terima kasih juga ditujukan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan pandangan dalam merangka EMP ini,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan rancangan projek PSI dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.

Menurut Kon Yeow, dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awal tambakan bagi projek itu akan dimulakan hari ini dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

”Malah, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk membuat bayaran ex-gratia kepada komuniti nelayan yang terkesan oleh projek berkenaan selepas kelulusan EMP, pembayaran 75 peratus ex-gratia akan mula dikreditkan secara berfasa bermula hari ini.

“Baki 25 peratus akan disempurnakan pada awal tahun depan, bayaran akan dibuat secara berfasa dengan mengambil kira skop projek PSI yang telah dikurangkan kepada sebuah pulau, berbanding perancangan awal sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, pembangunan projek ‘Silicon Island’ direka bentuk berdasarkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

”Ia dijangka menjadi pusat teknologi terkemuka di rantau ini dan membuka peluang pekerjaan baru dengan menyuntik manfaat ekonomi berkekalan kepada lokaliti setempat.

”Sebagai permulaan, sebanyak 600 peluang pekerjaan berasaskan laut dan darat akan ditawarkan dalam tempoh 18 bulan yang akan datang, keutamaan akan diberikan kepada nelayan dan penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya