REMBAU: Nelayan yang menangkap ikan di Sungai Timun dekat sini termasuk bersempadan dengan Melaka dinasihatkan menjauhi lokasi seorang wanita cedera diserang buaya, baru-baru ini.
Pengerusi MyKomuniti Perikanan (MyKP) Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Aripin Salleh berkata, dia tidak mengetahui saiz reptilia yang menggigit wanita terbabit, namun berdasarkan buaya yang kerap kelihatan di kawasan berkenaan berukuran lima meter.
Katanya, dalam kejadian di Sungai Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka itu, dia berada dalam jarak 50 meter dari lokasi wanita itu diserang di kawasan sungai yang berkeluk.
“Mangsa pada waktu itu berada dalam perahu, hanya menjuntai kaki, namun, selepas itu, saya terdengar dia menjerit meminta tolong dan memberitahu ada buaya. Saya kemudian menghidupkan enjin bot bagi menghalau buaya yang saya tidak nampak kerana buaya itu dikatakan masih di dalam sungai.
“Selepas itu, rakan saya mengangkat mangsa ke dalam perahu dan dibawa ke Pengkalan Nelayan Sungai Timun dan dikejarkan ke hospital. Kakinya saya lihat cedera.
“Saya terkejut kerana ini pertama kali kejadian nelayan digigit buaya dan menasihatkan agar penduduk atau nelayan yang lain tidak pergi ke kawasan berkenaan bagi menangkap udang,” katanya.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Nurkaisa Ausad atau lebih dikenali sebagai Cik Nor, 65 cedera kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.
Menurutnya, kejadian itu juga menimbulkan tanda tanya kepada penduduk setempat kerana selain tidak pernah berlaku haiwan reptilia itu hanya memunculkan diri atau sekadar mengacah seperti melanggar sampan namun tiada insiden digigit buaya.
“Nelayan di sini semua tahu memang ada buaya. Buat masa ini kami nasihatkan elak pergi lokasi terjadi insiden itu. Tempat lain di sungai ini masih banyak lagi lokasi menangkap ikan serta mengecal udang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 1 September lalu.-UTUSAN