PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki dalam lori dipercayai dibunuh di Danau Kota, Setapak dekat sini direman seminggu bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek akan disoal siasat hari ini kerana ketika ditahan, semalam, mereka dalam keadaan mabuk.
“Kedua-dua suspek tidak bekerja. Mereka dipercayai setiap malam meminum arak di lokasi kejadian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan mereka akan disoal siasat hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di Danau Kota, Setapak, di sini.
Polis menerima laporan daripada wanita yang juga adik mangsa pada 1.48 pagi.
Ashaari dilaporkan berkata, pengadu memaklumkan abangnya berusia 59 tahun meninggal dunia di dalam lori di parkir sekitar Danau Kota.
“Hasil pemeriksaan, mangsa mengalami kecederaan di telinga, bengkak di kepala dan pipi, luka di mata, lebam di bahu dan tulang dada serta terdapat kesan darah dalam mulut,” katanya.-UTUSAN










