Tapak projek Institut Penyakit Berjangkit di Bandar Enstek

Dewan Rakyat: Tapak projek Institut Penyakit Berjangkit di Bandar Enstek tidak sesuai 

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu bahawa tapak projek sedia ada untuk penubuhan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan tidak sesuai. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya menerima laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memaklumkan bahawa kawasan itu tidak sesuai untuk menubuhkan institut berkenaan. 

“Tapak projek ini terletak dalam Zon Industri Sederhana dan tidak sesuai diwujudkan sebuah institusi yang menyediakan rawatan pesakit berkapasiti 300 katil.

“Kawasan industri sedia ada boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap institut yang akan dibina. 

“Oleh itu, kementerian masih dalam proses memuktamadkan lokasi baharu,” katanya semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan status projek institut berkenaan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rasah dari DAP, Cha Kee Chin sebelum ini.

Semasa pembentangan RMK12 di Dewan Rakyat pada September 2021, kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika itu merancang membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bermula tahun 2022. 

Katanya, penubuhan institut itu bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit selain menjadi persediaan bagi menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang. -UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN