Dewan Rakyat: Kurangkan jumlah kapal perang di Laut China

Dewan Rakyat: Kurangkan jumlah kapal perang di Laut China Selatan elak ketegangan 

MOHAMAD ALAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berpendirian bahawa semua negara pesisir yang terlibat dalam isu tuntutan di Laut China Selatan perlu mengurangkan jumlah kapal-kapal perang di kawasan itu bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan antarabangsa.  

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, kehadiran kapal perang dalam jumlah yang banyak berpotensi meningkatkan ketegangan malah mengancam keamanan negara. 

Oleh itu, katanya, isu tuntutan China di Laut China Selatan yang bertindih dengan kawasan maritim negara perlu dikendalikan secara menyeluruh dan setiap tindakan diambil adalah berdasarkan pertimbangan komprehensif. 

“Kehadiran dan jumlah kapal perang di kawasan maritim seperti Laut China Selatan juga berpotensi meningkatkan ketegangan dan boleh mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan. 

“Oleh itu, kerajaan mengambil pendirian semua negara perlu mengurangkan kehadiran kapal perang di Laut China Selatan bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan. 

“Malaysia komited menangani isu Laut China Selatan secara konstruktif mengikut forum dan saluran diplomatik sesuai dalam mempertahan kedaulatan dan kepentingan negara. 

“Kerajaan harus mengambil sikap hati-hati dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku dalam kawasan perairan negara,” katanya semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Isu Laut China Selatan sebelum ini kembali diperbincangkan setelah Kementerian Sumber Asli China mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan kawasan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai wilayah negara itu. 

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim negara.

Katanya, tuntutan maritim sepihak China sama sekali tidak mengikat Malaysia selain konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa pihak asing ke atas kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Dalam pada itu, Mohamad Alamin memberitahu bahawa kerajaan telah mengemukakan bantahan diplomatik kepada China pada 11 September lalu dan menegaskan menolak tuntutan kedaulatan serta hak kedaulatan China ke atas fitur maritim di Laut China Selatan. 

“Ini tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut,” katanya. -UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN