PETALING JAYA: Dengan hanya memakan sayur tanya melakukan aktiviti senaman, ia tidak akan menjamin tahap kesihatan individu berada dalam keadaan baik
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, bersenam sahaja tanpa mengambil sayur dalam hidangan tidak menjamin tahap kesihatan yang ideal.
“Serat juga boleh dapat daripada kekacang dan buah-buahan, jadi jika tidak makan sayur, boleh diganti dengan makan buah-buahan dan kekacang” katanya.
Sharifa Ezat berkata, golongan muda atau golongan yang lebih sibuk sehingga mereka yang tidak dapat memasak makanan sendiri, lebih memilih makanan segera sebagai alternatif yang lebih mengenyangkan.
Makanan sihat yang dijual di restoran pada hari ini kebanyakannya akan menjadi lebih mahal dan kos memainkan peranan penting dalam pembelian makanan sihat.
“Bilangan rakyat Malaysia yang kurang makan sayur disebabkan mereka memilih makanan segera yang lebih mudah didapati, lebih murah, lebih menarik dan dianggap lebih sedap” katanya.
Utusan Malaysia kelamrin melaporkan, hanya 1.5 juta atau 4.6 peratus rakyat di negara ini mengambil sayur dalam setiap hidangan amalan pemakanan seimbang bagi menjaga kesihatan.
Menurut kajian Sharifa Ezat, golongan obesiti mudah didapati di kalangan penjaga dan kanak-kanak yang rendah sosioekonomi yang miskin bandar.
Bagi menangani isu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meneruskan inisiatif bakul makanan atau lebih dikenali sebagai ‘food basket’ memandangkan masih ada kanak-kanak dan keluarga yang tidak mendapat makanan seimbang.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman menasihatkan, supaya rakyat Malaysia perlu mengamalkan makanan seimbang dan amalkan prinsip ‘pelbagai’ dalam mengambil semua kumpulan makanan mengikut saiz hidangan yang telah ditetapkan.
Bagi menangani isu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meneruskan inisiatif bakul makanan atau lebih dikenali sebagai ‘food basket’ memandangkan masih ada kanak-kanak dan keluarga yang tidak mendapat makanan seimbang. –UTUSAN