GOPENG: Seorang tukang gunting rambut tetap meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya sejak lebih 50 tahun walaupun deretan kedai di premis perniagaan yang disewanya di pekan kecil Kampung Kepayang di sini, banyak yang kosong tanpa peniaga lain.
R. Gunasegaran, 72, berkata, dia bekerja sebagai tukang gunting pada tahun 1964 di premis yang sama di pekan itu dan masih meneruskan pekerjaan yang diminatinya itu di tempat yang sama sampai ke hari ini walaupun pekan Kampung Kepayang kini menjadi ‘pekan mati’.
Katanya, ketika ini hanya dia dan tiga peniaga lain yang masih meneruskan perniagaan di dua deretan kedai bangunan papan yang semakin uzur itu.
Berita berkaitan:
Menurutnya, pekan Kampung Kepayang ‘mati’ disebabkan jalan besar menjadi sibuk, selain kekurangan tempat letak kereta di sepanjang jalan raya itu menyebabkan ramai peniaga terjejas dan terpaksa gulung tikar.
“Dahulu pekan ini sibuk, ramai pelanggan yang datang dan pelbagai jenis perniagaan ada di sini. Namun kerana kekurangan tempat letak kereta disebabkan pembinaan jalan besar, banyak kedai yang tutup.
“Walaupun pekan ini semakin ditinggalkan, namun saya tetap meneruskan perniagaan yang saya warisi daripada bapa saya. Saya seronok tinggal di sini kerana saya sudah mengenali penduduk di sekitarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gunasegaran bagaimanapun berharap pekan Kampung Kepayang dapat dibangunkan semula dan mengakui gembira apabila ketika ini terdapat kerja-kerja baik pulih bangunan di premis di situ, difahamkan bagi tujuan pembinaan sebuah restoran.
Katanya, dia percaya ia akan menghidupkan semula suasana aktiviti perniagaan di Pekan Kepayang seperti era 1980-an di mana terdapat hampir 20 peniaga di situ. – UTUSAN











