Cukup-cukuplah, kasihan mak saya - Ismahalil - Utusan Malaysia

Cukup-cukuplah, kasihan mak saya – Ismahalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua tahun penyampai radio, Ismahalil Hamzah berjuang demi keadilan dan kebenaran. Tanggal 17 Julai 2023, perjuangannya memperoleh kejayaan. Dia dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram dua tahun lalu.

Namun gembira yang dirai tetap mengundang rasa cemburu dan tidak puas hati segelintir pihak. Tiba-tiba ada dakwaan dan fitnah yang berlegar mengatakan lelaki berusia 50 tahun itu tidak layak dibebaskan.

Bercakap sendiri dengan Ismahalil, hanya senyuman mendahului jawapan. Dia tenang berdepan fitnah dan dakwaan tersebut. Jawablah cuba menyelami isi hati penyampai radio Bapakku FM ini. Isma, Jawablah!

Alhamdulillah, abang sudah kembali bersiaran. Apa perasaan abang? Yalah, sebelum ini kita tahu bagaimana kisah hidup yang ditempuhi abang. Dua tahun yang cukup gelap.

Jujurnya, mula-mula memang kecoh. Saya sudah lama tak ke udara, jadi hendak mendapatkan kembali rentak itu ambil masa lama. Selepas enam kali bersiaran, baru skil lama itu dah tak pandai menyorok lagi.

Perasaannya tak boleh nak cakap. Saya bersyukur sangat. Dapat kembali ke tempat yang saya cintai. Set up balik semua aplikasi, dapat rakaman siaran. Dapat beri sokongan kepada program kawan-kawan.

Cuma saya perasan, bila kembali ke udara selepas dua tahun ini, saya lebih mudah tersentuh. Jiwa lebih lembut. Dengar kisah sedih pendengar pun saya sudah tersentuh, cepat touching orang kata.

Adakah sebenarnya abang terharu dengan penerimaan, doa serta harapan orang ramai terutama peminat yang mahu abang kembali bersiaran seperti dahulu? Adakah pengalaman juga menjadikan abang lebih mudah memahami dan empati dengan persekitaran?

Tidak dinafikan juga. Sebab, bila saya baca komen-komen, harapan semua saya jadi terharu. Peminat pun selalu bagi gift di aplikasi TikTok. Doa-doa mereka supaya saya terus bergerak itu dimakbulkan Tuhan.

Saya banyak belajar selepas dua tahun meringkuk. Sekarang saya mahu lebih menghargai. Keluarga, sahabat dan mereka yang tidak putus-putus memberi saya sebab untuk terus kuat dan bernafas.

Hari itu video abang memeluk emak selepas dibebaskan cukup menyayat hati. Ramai terharu dengan momen yang cukup menyedihkan itu. Apa nasihat emak abang ketika itu?

Selepas keluar, kerinduan yang dipendam emak itu saya rasa. Saya rasa rindu sangat dengan emak saya sepanjang dua tahun meringkuk. Mahu peluk dan mencium nyawa saya. Dia dah tak kisah apa-apa.

Yang penting anak-anaknya selamat dunia akhirat. Saya sekarang pun tidak tunggu bila lapang baru balik kampung. Bila terbit sahaja rindu dalam hati, saya cepat-cepat pulang. Mak saya usia sudah lanjut, saya perlu hargai masa dan kesempatan Tuhan beri.

Maaf kalau soalan ini mengguris hati. Tetapi ada dakwaan mengatakan abang tidak seharusnya dibebaskan. Ada yang dakwa, memang abang layak meringkuk dalam penjara. Pendek kata, abang bukan orang baik.

Saya bukan dibebas tanpa sebarang perbicaraan. Saya melalui proses didakwa, menjalani pertuduhan dan diarahkan bela diri. Ada saksi di tempat kejadian dan saya telah bebas daripada tuduhan tersebut.

Saya sebenarnya tak boleh nak komen kalau ada yang terus-menerus menyebar fitnah dan dakwaan tidak berasas. Komen-komen negatif ini di mana-mana sahaja ada. Kita tak boleh lari daripada dibenci orang lain.

Apabila masih ada pihak cuba menyebar fitnah, menyimpang persepsi orang lain terhadap abang, apakah yang abang mahu lakukan? Adakah tindakan bakal diambil?

Selepas dua tahun dipenjara, walau apa pun yang telah saya lalui, demi Allah, saya tidak salahkan sesiapa. Saya maafkan semua orang. Orang cakap apa pun, saya maafkan. Tiada masa untuk menyakiti hati sesiapa.

Kasihan emak saya. Dua tahun dia kemurungan kerana risau dengan keadaan saya.

Ketika ini, saya mahu rawat hati sendiri. Saya percaya, Tuhan itu Maha Adil. Tiada dendam. Saya cuma mahu meneruskan hidup bersama apa yang tersisa. Cukup itu, bersyukur sahaja.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya