Cuepacs minta naik gaji RM300, bonus sebulan setengah

Cuepacs minta naik gaji RM300, bonus sebulan setengah

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan agar dapat menaikkan gaji kakitangan kerajaan sebanyak RM300 dalam pembentangan Belanjawan 2024 bulan depan.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan gaji itu perlu diberikan bagi membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa di samping sementara menunggu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada 2025.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap kerajaan memberikan bonus minimum satu bulan setengah kepada penjawat awam yang kali terakhir diterima pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

“Kenaikan gaji sebanyak RM300 ini juga boleh meningkatkan gaji bersih (take-home pay) serta memberi kelegaan kepada penjawat awam sementara menunggu tempoh sistem saraan baharu dilaksanakan pada 2025.

“Cuepacs memahami kekangan kerajaan tetapi pada masa sama penjawat awam juga perlu ihsan daripada kerajaan bagi meningkatkan motivasi dalam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini

Beliau berkata, ia sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan yang dijangka pada tahun depan.

Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri memaklumkan skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dengan cadangan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut memohon diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun bagi memaksimumkan pencen yang bakal diterima penjawat awam.

“Bagi tempoh perkhidmatan lebih 30 tahun dan ke atas, pengiraan pencen bulanan diambil terus 60 peratus dari gaji pokok akhir atau 3/5 daripada gaji pokok akhir. Situasi ini akan mengakibatkan mereka yang berkhidmat lebih daripada 30 tahun tidak dapat menikmati jumlah maksimum pencen berdasarkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Ketika ini, pengiraan pencen penjawat awam adalah terhad kepada terhad kepada 360 bulan atau 30 tahun tempoh perkhidmatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN