PETALING JAYA: City University Malaysia (City University) bakal membuka sebuah kampus baharu di Cyberjaya tahun hadapan dalam usaha meningkatkan bidang pendidikan tinggi negara.
Timbalan Naib Canselor Kanan (Perkhidmatan Korporat & Kelestarian) dan Pendaftar, Dr. Rosnizah Shaari, berkata, kampus baharu tersebut dijangka beroperasi seawal Januari dengan menempatkan beberapa fakulti baharu, sekali gus menambah jumlah bilangan pelajar.
Setakat ini, katanya, institusi tersebut mempunyai kira-kira 7,500 orang pelajar termasuk kira-kira 3,000 pelajar antarabangsa.
“Ketika ini, kebanyakan pelajar ditempatkan di dua kampus iaitu Petaling Jaya, Johor Bahru dan satu pusat pembelajaran di Kota Kinabalu. Dengan pertambahan kampus baharu ini, beberapa fakulti akan dipindahkan ke Cyberjaya.
“Satu daripadanya termasuk Fakulti Industri Kreatif, Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan, Fakulti Teknologi Maklumat, Fakulti Seni Bina dan Alam Bina dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Rosnizah berkata, City University Malaysia berjaya menerima Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) 2022 sebagai Institusi Pendidikan Tinggi dalam kategori (berdaya saing) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Pengiktirafan yang diterima ini membuktikan City Universiti Malaysia terus mengorak langkah dengan agresif untuk berdiri sama tinggi dengan universiti terbaik negara.
“Kami mencapai tahap pengiktirafan tertinggi daripada kementerian dan ini penting untuk pelajar antarabangsa. Selepas ini, kami akan terus memperbaiki dan mensasarkan ranking mengikut program,” ujarnya.
Untuk rekod, sistem penarafan Setara digunakan untuk mengukur jaminan kualiti dan standard universiti serta kolej universiti di Malaysia berdasarkan autonomi, kualiti dan prestasi institusi.
Sementara itu, Roszinah berkata, universiti itu juga kini memperkukuhkan kedudukan dengan kolaborasi bersama American Commission on Educational Exchange (MACEE) melalui Program Fulbright.
“Ia bagi memastikan tenaga pengajar dan pelajar terutama warga Malaysia dapat meneroka peluang yang lebih jauh dengan kerjasama dengan kedutaan Amerika Syarikat,” jelasnya.-UTUSAN