Cadangan pecah monopoli beras perlu alasan kukuh

Cadangan pecah monopoli beras perlu alasan kukuh

Mohamad Sabu
MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang cadangan untuk memecahkan monopoli beras memerlukan alasan kukuh dan perbincangan bersama kementerian serta agensi berkaitan sebelum keputusan dibuat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana kerajaan terikat dengan perjanjian bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

“Kalau kita nak pecahkan perjanjian ini, kena mengambil masa dan juga mesti ada alasan yang kuat untuk buat, sebab itu lah kita kena lihat secara keseluruhan.

“Kalau nak buat rombakan mestilah melalui perbincangan yang perlu melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan juga Jabatan Perdana Menteri sebab beras ini soal makanan, soal sekuriti makanan yang perlu ditangani bersama.

“Oleh itu, hal nak memecahkan monopoli itu adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian. Bagaimanpun, dalam hal yang begitu penting ini saya yakin Kabinet boleh membuat cadangan atau perubahan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Persidangan Tahunan Ke-25 Persatuan Kebangsaan bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCO) di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad berkata, kerajaan mempunyai dua pilihan sama ada melaksanakan monopoli sepenuhnya atau mewujudkan pasaran terbuka bagi menambah bekalan beras tempatan di pasaran.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu berhubung bekalan beras tempatan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, esok.

“Saya nak lihat agenda (mesyuarat Kabinet) dahulu, tapi saya akan kemukakan perkara baharu yang berlaku yang saya akan sampaikan dalam Kabinet,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohamad sekali lagi menasihati pengguna agar tidak melakukan pembelian panik sehingga mengganggu bekalan beras.

Jelas beliau, ini kerana terdapat pengguna yang kebiasaannya membeli dua kampit beras kini bertindak membeli sehingga empat kampit beras.

“Jangan lah panik, apa-apa beli pada kadar biasa. InsyaAllah beras itu ada, cma kalau kita perlukan dua kampit beras, kita beli empat ertinya kita ambil hak orang lain untuk digunakan pada bulan itu, maka ia jadi gangguan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya