Burung hantu busut ditemukan di Perlis

Burung hantu busut ditemukan di Perlis

DUSKY Eagle-Owl adalah antara spesies burung jarang ditemukan berjaya direkodkan oleh pemerhati burung di Wang Kelian, Perlis, baru-baru ini. - UTUSAN/HUZAIRI ABD. HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Burung hantu busut atau Dusky Eagle-Owl iaitu burung hantu terbesar di Malaysia antara yang ditemukan di Wang Kelian di sini, sekali gus menjadi tumpuan pemerhati dan jurugambar dari luar negara untuk ke negeri ini bagi merakamkan gambar pelbagai spesies burung.

Selain pemerhati tempatan, penggemar burung dari negara luar seperti Hong Kong dan Singapura tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke negeri ini bagi merekodkan gambar spesies burung tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pemerhati burung tempatan, Huzairi Abd. Halim, 49, berkata, ada antara pemerhati burung dari luar negara sanggup menghabiskan masa menempuh perjalanan sejauh ratusan kilometer hanya semata-mata untuk melakukan aktiviti merakamkan gambar burung di negeri ini.

“Mereka sanggup melakukan sedemikian kerana Perlis mempunyai banyak spesies burung yang unik dan jarang ditemukan di tempat-tempat lain. Tujuan mereka merekodkan gambar burung itu adalah sebagai hobi, pemantauan, analisis, kerjaya dan sebagainya dengan mencari kelainan di negeri ini,” katanya.

Tambah Huzairi, antara penemuan baharu spesies burung jarang dijumpai yang berjaya direkodkan di negeri ini adalah Dusky Eagle-Owl.

Katanya, berdasarkan maklumat Worldwide Birder, burung tersebut hanya direkodkan ditemukan di Wang Kelian dan Haryana, India sepanjang tempoh dua bulan kebelakangan ini.

“Kelebihan di Perlis ialah burung-burung ini mudah dilihat di kawasan View Point, Wang Kelian yang mana pemerhati tidak perlu masuk ke dalam hutan untuk merekodkan gambar. Terdapat juga beberapa spesies burung di negeri ini yang asalnya dari Thailand antaranya seperti Racket-Tailed Treepie, Bronze-Winged Jacana, Indochinese Roller, Siamese Pied Myna dan Red Collared Dove,” katanya.

Dalam pada itu, Huzairi berkata, dia aktif melakukan aktiviti mencerap burung sejak lebih dua tahun lalu dan sehingga kini sebanyak 130 spesies ditemukan hanya di Perlis.

Katanya, antara lokasi yang sering menjadi tumpuannya bagi melakukan aktiviti itu adalah membabitkan kawasan sepanjang Banjaran Nakawan bermula dari Wang Kelian sehingga ke Kampung Wai, Kuala Perlis.

“Perlis terletak di bahagian Utara Malaysia dan merupakan destinasi transit buat burung yang akan berhenti dan menetap buat sementara waktu di sini. Burung-burung ini akan berhijrah dari utara pada musim sejuk ke bahagian selatan sekitar September hingga April,” katanya.

Tambah Huzairi, pihaknya berharap dengan peningkatan sektor eko-pelancongan berasaskan Avi Tourism ini dapat memberi limpahan ekonomi buat masyarakat setempat.

“Sektor Avi Tourism dapat berkembang baik di Perlis hasil komitmen diberikan oleh Jabatan Perhutanan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perlis Nature & Wildlife (PNW). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN