Bukan kronisme, cuma berkongsi rezeki - Janna Nick - Utusan Malaysia

Bukan kronisme, cuma berkongsi rezeki – Janna Nick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terlebih dahulu, ucapan tahniah wajar dilayangkan kepada pelakon popular, Janna Nick kerana berinisiatif untuk menerbitkan sebuah pementasan teater muzikal kanak-kanak berjudul Pak Pandir dan Labu Ajaib.

Usaha itu juga sekali gus menyuntik nadi baharu buat dunia pementasan teater tanah air yang boleh dikatakan agak lama tidak dihidupkan dengan persembahan-persembahan menarik, apalagi untuk kategori pementasan teater kanak-kanak. 

Pun begitu, apabila melihat kepada barisan pelakon yang diberi tugas untuk menggalas watak-watak dalam teater muzikal terbitan Janna ini, wujud pandangan bahawa pelakon ini seakan selesa mengamalkan kronisme. 

Ia terbukti menerusi pemilihan ketara rakan-rakan baik Janna sendiri seperti Puteri Sarah, Noreen Iman dan Aya Amiruddin. 

Janna menjelaskan, istilah kronisme tidak wujud kerana faktor utama pemilihan mereka adalah kerana bakat dan kelebihan energi persembahan yang mereka dapat lakukan. 

“Memang mereka adalah kawan-kawan saya. Tetapi pada masa yang sama, barisan-barisan pelakon ini berkualiti. Kalau tidak, saya pun tak akan panggil mereka. 

“Saya juga bukan seorang ‘opportunist’ atau nak ambil kesempatan pada kawan-kawan. Saya lebih suka melihat ini cuma satu perkongsian rezeki.

“Saya senang berurusan dengan mereka ini tetapi nak katakan semua pelakon ini adalah kawan tidak juga. Ada juga kenalan industri,”katanya. 

Tambah Janna yang berusia 28 tahun, dia juga yakin menerusi pemilihan barisan pelakon ini, ia memberi tambah nilai kepada pementasan teater muzikal tersebut.

“Nak buat teater bukan senang. Satu kerana ia menelan kos yang besar dan keduanya memerlukan penglibatan dari segi teknikal, pengarah, tenaga kru dan produksi yang ramai. Untuk teater muzikal ini saja, penglibatan tenaga kerja hampir 100 orang.

“Jadi adil lah jika saya letakkan barisan pelakon yang dikenali ramai ini untuk memberi tambah nilai pada pementasan teater muzikal Pak Pandir dan Labu Ajaib ini. 

“Saya pun tak nak pening-peningkan kepala dan mahu berurusan dengan orang yang senang beri kerjasama,”katanya.

Kunci awal-awal Bell Ngasri

Berkongsi lanjut mengenai penglibatan barisan pelakon, Janna juga menjawab mengenai pemilihan Bell Ngasri yang disifatkan sebagai satu rezeki buat dirinya. 

Katanya, tawaran untuk Bell diberikan sebelum pelakon tersebut memenangi Anugerah Bintang Paling Popular ke-35.

Justeru, kata Janna,  bayaran Bell untuk khidmat lakonannya dalam pementasan teater muzikal ini disifatkan masih pada harga lama.

“Tawaran itu saya berikan kepada Bell sebelum dia menang ABP. Bila dia menang, saya pun rujuk semula dengan dia mengenai bayaran sebab iyalah, kalau boleh nak harga sebelum. 

“Lega juga bila Bell kata demi saya dia okey sahaja. Tetapi soal bayaran bukanlah isunya. Saya memang nak Bell berlakon dalam pementasan teater muzikal ini kerana saya cuma nampak dia dalam watak Pak Pandir itu. 

“Sekali lagi, bukan kroni. Cuma pilihan yang tepat. Tetapi selepas dia menang ABP, nampaknya kena mengaku dia kawan kitalah,”katanya berseloroh.

Tambah Janna lagi, dia juga selesa bekerja dengan Bell kerana sebelum ini pernah mengarah pelakon itu dalam sebuah telefilem yang diterbitkan di bawah JN Studio & Entertainment. 

Katanya, sepanjang pengalaman bekerja dengan pelakon senior tersebut, Bell baginya sangat profesional dan menghormati orang lain. 

“Bagi saya, Bell ini tak pernah berubah. Sama sahaja baiknya dan memang itulah dirinya. Walaupun dia dianggap sebagai pelakon komedi, tetapi dia jenis pelakon yang ikut skrip.

“Dalam pementasan teater, kita tak boleh nak olah-olah skrip atau terlalu nak berjenaka sebab adalala terdapat perkataan atau ayat yang tak sesuai didengar dan ditonton oleh kanak-kanak.

“Saya nak kanak-kanak seronok dan terhibur menonton teater muzikal ini bersama keluarga. Saya rasa Bell boleh bawakan dengan baik. Apa yang penting adalah mesej positif yang terisi dalam naskhah ini,”katanya. 

Untuk info, teater muzikal Pak Pandir dan Labu Ajaib arahan Aminah Rhapor  ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC).

Ia bakal diadakan bermula dari 13 hingga 15 Oktober 2023 bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur.

Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan Teater Muzikal Kanak- Kanak :Pak Pandir Dan Labu Ajaib berharga diantara RM50 hingga RM250 kini telah mula dijual dan boleh didapati di laman sesawang ticket2u.com.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN