JEMPOL: Seorang bapa dan ibu tiri ditangkap polis selepas dipercayai bertindak kejam mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam kejadian di Bahau, di sini, semalam.
Difahamkan, nasib kanak-kanak berkenaan hanya diketahui apabila dia melarikan diri dari rumah dan mengadu kepada orang awam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar pukul 2.30 petang mengatakan terdapat seorang kanak-kanak lari dari rumah.
“Didapati terdapat kesan luka di bahagian badan mangsa. Polis menyelamatkan mangsa dan membawanya ke Hospital Jempol bagi rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa didera sejak Mac lalu. Mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dipercayai dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandung dengan menggunakan tangan, ditendang serta dirotan menggunakan senduk kayu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak kesan parut dan luka di seluruh badan mangsa.
Menurutnya, kanak-kanak itu menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan doktor mengesahkannya mengalami pelbagai kecederaan pada badan.
“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek iaitu bapa kandung berusia 27 tahun yang bekerja di kilang kayu dan ibu tiri yang berusia 31 tahun ditangkap pada hari yang sama.
“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan sehingga 20 tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN