Berhentilah menipu, buat cerita palsu - ND Lala dedah cerai isteri pertama atas ugutan, permintaan - Utusan Malaysia

Berhentilah menipu, buat cerita palsu – ND Lala dedah cerai isteri pertama atas ugutan, permintaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk ND Lala akhirnya tampil menjelaskan spekulasi berhubung kemelut rumah tangganya dengan bekas isteri, Fauziah Sarman sehingga membawa kepada perceraian.

Dedah ND Lala, dia menceraikan Fauziah di atas permintaan bekas isterinya itu sendiri selepas beberapa diugut dan diminta untuk dilepaskan kerana tidak bersetuju untuk berpoligami.

“Setelah sekian lama saya mendiamkan diri, saya tampil menjelaskan tiga perkara penting. Antaranya tentang status perkahwinan saya. Memang benar saya telah menikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani (isteri kedua).

“Memang benar bekas isteri saya (Fauziah) tidak bersetuju untuk berpoligami. Dia telah banyak kali mengugut dan meminta saya untuk menceraikannya.

“Memang benar saya telah menunaikan permintaan bekas isteri saya. Ini bukan satu keputusan yang mudah setelah 34 tahun kami bernikah dan dikurniakan empat orang cahaya mata,” kongsinya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Diari Y.B itu menjelaskan perkara tersebut menerusi sebuah video yang dimuat naik di Youtube hari ini.

Bagaimanapun, ND Lala terus mengunci mulut dan tidak mahu mengulas apa yang telah terjadi antara dia dan Fauziah sehingga membawa kepada perceraian kerana itu terlalu peribadi.

Bapa kepada penyanyi Shila Amzah itu juga mengeluarkan kenyataan seolah-olah menegur cara bekas isterinya yang dipercayai terlalu terbuka bercerita tentang masalah rumah tangga mereka kepada umum.

“Platform yang betul untuk mengadu atau merujuk adalah pejabat agama dan diputuskan oleh mahkamah. Tiada keperluan untuk mengadu dan meluahkan perasaan pada orang lain.

“Tidak perlu meluahkan pada kawan-kawan. Lebih buruk bila kita mengadu dalam media sosial serta wartawan. Netizen dalam media sosial dan wartawan tidak boleh beri solusi.

“Mungkin kita cerdik, tapi orang lain juga tak bodoh. Mungkin kita cantik, tapi orang juga tak hodoh. Mungkin kita alim, tapi orang lain pun tak jahil, jadi kita perlu tahu mana satu hak dan batil,” katanya.

Dalam pada itu, ND Lala juga percaya apa yang telah berlaku dalam rumah tangga mereka sehingga meruntuhkan mahligai cinta yang dibina selama 34 tahun adalah satu ketentuan.

“Berhentilah menipu, berhentilah buat cerita palsu. Berapa lama nak menipu, akhirnya orang akan tahu? Kebenaran akan menang.

“Tidak mengapa, apa yang terjadi, telah pun terjadi. Saya percaya pada rukun iman. Saya percaya pada qada dan qadar. Ini bahagian saya. Saya reda.

“Saya juga percaya perancangan Allah jauh lebih baik dan rahmat Allah untuk masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN