PETALING JAYA: Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPPKM) mahu Peruntukan Usahawan Tani (INTAN) turut merangkumi aspek pemasaran produk.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presidennya, Adzmi Hassan berkata, segala bantuan yang diberikan kerajaan kepada petani atau pekebun sebelum ini hanyalah membabitkan aspek pengeluaran seperti subsidi baja, racun dan lain-lain.
Bagaimanapun, beliau berkata, bantuan tersebut disifatkannya sebagai ‘separuh jalan’ kerana aspek pemasaran adalah cabaran terbesar petani atau pekebun untuk mencapai objektif disasarkan kerajaan menerusi peruntukan diberikan.
“Kami sokong peruntukan diberikan untuk membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan golongan itu tetapi penyampaiannya yang sering dipersoalkan kerana sebelum ini bantuan hanya diberikan daripada aspek pengeluaran sedangkan aspek pemasaran tidak dibantu.
“Bantuan disalurkan perlu mengambil kira aspek pemasaran, jika tidak, hasil diperoleh petani tidak akan mencerminkan usaha kerajaan kerana banyak rintangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa kerajaan memperuntukkan RM100 juta pada tahun ini untuk mempercepatkan Program Usahawan Tani (INTAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menangani isu keselamatan dan ke terjaminan makanan serta membantu mengawal harga di pasaran.
Rafizi berkata, program itu melalui kaedah pertanian moden bertujuan meningkatkan keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat dengan sasaran 1,200 peserta mengusahakan 600 ekar tanah.
Adzmi berkata, pelbagai cabaran dihadapi petani dan pekebun dalam memasarkan produk mereka disebabkan campur tangan ‘orang tengah’ yang mengakibatkan hasil diperolehi tidak setimpal.
“Perlu diambil kira juga kos tinggi ditanggung petani disebabkan baja tidak berkualiti, orang tengah, persaingan dengan barangan import dan perbezaan ketara harga ladang dengan harga di pasaran.
“Dalam isu persaingan dengan barangan import, kadang-kadang ia lebih murah daripada produk tempatan. Bagaimana nak bersaing dengan sihat dan menjamin pulangan seperti diunjurkan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam isu baja, tiada pihak yang memantau kualiti input tersebut sehinggakan petani terpaksa membelinya walaupun kualiti tidak memuaskan.
“Baja yang kurang berkualiti akan mengakibatkan pengeluaran produk tidak mencapai sasaran, jika pengeluarannya pun sudah berkurang hasil diperoleh makin menurun.
“Ini antara perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk membuat pemantauan rapi supaya objektif yang dikehendaki mencapai sasaran,” katanya.-UTUSAN










