Baiki siren kecemasan, persediaan hadapi kepala air di Ulu Bendul

Baiki siren kecemasan, persediaan hadapi kepala air di Ulu Bendul

MDKP memasang papan tanda amaran kejadian kepala air sebagai peringatan kepada pengunjung di Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Jabatan Perhutanan Daerah Kuala Pilah diarah membaiki siren kecemasan sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian kepala air di kawasan rekreasi popular Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, ia sebagai tindakan berjaga-jaga bagi menghadapi monsun peralihan disusuli Monsun Timur Laut pada November ini serta persiapan menghadapi musim banjir dan hujan lebat berterusan.

Katanya, semua pihak diarah membuat persiapan dan siap siaga menghadapi musim banjir dan hujan lebat ini termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah yang diluluskan dua buah bot bagi kegunaan misi menyelamat dan memberikan bantuan.

“Bagi kes kepala air di Ulu Bendul, Jabatan Perhutanan Daerah diarahkan membaiki siren kecemasan sebagai isyarat kepada pengunjung yang datang tentang bahaya kepala air. Papan tanda amaran juga telah dipasang pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) sebagai peringatan supaya pengunjung keluar dari kolam mandi apabila hujan turun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Faizal yang juga Yang Dipertua MDKP juga menasihatkan pengunjung Ulu Bendul untuk sentiasa berhati-hati dan memastikan ahli keluarga masing-masing tidak berada di dalam kolam sebaik sahaja menyedari hujan melanda.

“Kami juga akan mengeluarkan arahan menutup kolam mandi Ulu Bendul jika didapati musim hujan lebat berlarutan. Pemantauan akan sentiasa di buat.

“Saya menasihatkan pengunjung untuk sentiasa menjaga kebersihan kolam mandi Ulu Bendul bagi mengelakkan berlakunya masalah kencing tikus dan pencemaran,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×