PETALING JAYA: Penyanyi, Bad Indigo terpaksa melupakan sebentar hasratnya untuk mendapatkan penyangga kaki khas yang hanya didapati di Amerika Syarikat (AS) kerana isu penghantaran.
Jelasnya, dia sudah mendapatkan maklum balas pengeluar produk tersebut namun dimaklumkan mereka tidak menyediakan sistem penghantaran ke luar negara.
“Saya perlu cari jalan mendapatkan X-leg tersebut kerana mereka tidak menghantar barang ke luar negara. Saya juga tiada kenalan atau tahu sesiapa yang boleh mengirimkannya dari California.
“X-leg bukan kaki palsu tetapi sistem sokongan untuk melancarkan pergerakkan bagi mereka yang mempunyai masalah tapak kaki tidak rata. Saya tahu mengenainya menerusi YouTube.
“Hrganya RM5,000. Tetapi itulah, saya masih mencari jalan. Di pasaran mungkin ada produk seakan sama, tetapi saya mahu beli yang khusus untuk tapak kaki,” kongsinya.
Tambah Bad, kaki kiri yang sebelum ini dipotong pada bahagian jari kini berdepan masalah saraf sehingga membengkok ke dalam, sekali gus mengakibatkan rasa sakit untuk melangkah.
“Kalau dapat beli X-leg itu, mudahlah untuk saya bergerak dan menerima undangan persembahan. Sekarang ramai penganjur yang ragu-ragu untuk panggil.
“Mungkin mereka risau akan menyusahkan saya naik ke pentas dengan berkerusi roda. Kita masih tiada banyak pentas yang ada kemudahan tanjakan untuk kerusi roda.
“Jadi jika saya memakai X-leg itu, saya boleh berdiri dan jalan tanpa perlu berpijak. Boleh gunakan tangga juga,” katanya.
Anggota kumpulan Indigo itu kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis.