PETALING JAYA: Pelakon, Ruhainies, 31, menafikan tuduhan membuat pembedahan kosmetik membesarkan payudara seperti yang didakwa selepas gambar menampakkan lurah dadanya tular di media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ruhainies berkata, dia tidak akan melakukan pembedahan plastik yang boleh membahayakan nyawanya malah menafikan beberapa dakwaan lain berkait dengan gambar seksi tersebut.
“Apa yang ada pada saya semua itu original. Cuma sebelum ini mereka tidak pernah nampak, jadi mereka tidak tahu.
“Saya tidak akan buat apa-apa yang membahayakan. Kalau betul saya nak buat pembedahan plastik, baik saya buat hidung.
“Ada juga yang komen mengatakan saya buat solekan dan contour ‘bahagian itu’. Tuduhan bersifat provokatif itu tidak benar sama sekali,” katanya.
Mengakui kesilapannya berpenampilan seksi pada acara berkenaan, pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu menjelaskan tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menyarungkan busana tersebut kerana kesuntukan masa.
“Memang saya berada di fasa bereksperimen dengan banyak gaya dalam berfesyen. Tapi jangan salah faham, bukan bermakna saya seksi.
“Ada yang kata saya sudah berubah. Sebenarnya, saya masih sama seperti dulu. Sebelum ini, saya memang menjaga cara berpakaian agar tidak terlalu seksi.
“Saya hormat orang yang mungkin tidak selesa dengan penampilan mencolok mata” tambah pelakon Cukup Derita Itu tersebut.
Dalam pada itu, Ruhanies berkata, dia kini tidak lagi terkesan dengan komen-komen nakal atau kecaman di media sosial.
“Dulu mungkin saya sedih dengan kata-kata warganet. Tapi sekarang saya sudah semakin kebal.
“Saya faham, kehidupan seorang selebriti selalu diperkatakan, saya tidak boleh hendak hentikan mulut orang,” katanya. – UTUSAN










