PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa konsep Malaysia Madani kepada dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78.
Perdana Menteri berkata, konsep itu diusulkan oleh beliau supaya ia boleh diguna pakai masyarakat antarabangsa dalam mendepani dilema ‘defisit demokrasi’ yang sedang melanda dunia.
Kata beliau, antaranya melibatkan isu konflik Rusia-Ukraine dan beliau menyeru usaha bersepadu pelbagai hala diketuai PBB untuk menyelesaikan konflik ini.
“Awal tahun ini, saya memperkenalkan Malaysia Madani, visi yang dibina di atas tonggak nilai teras yang kita percayai adalah amat diperlukan dalam mana-mana masyarakat yang harmoni. Asas prinsip dan nilai moral ini juga terpakai dalam konteks hubungan kita dengan negara lain.
“Sama ada G7, G20, G77, APEC, atau FTA terbesar dunia, tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai kerjasama adalah sine qua non (wajib) untuk mana-mana penyelesaian kepada krisis sedang melanda dunia,” katanya dalam Kenyataan Negara di New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Dalam hal ini, katanya, Malaysia memberi komitmen kepada PBB berdasarkan kepada prinsip bahawa semua negara ada tanggungjawab bersama ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik.
“Malaysia percaya kita boleh mencapainya melalui kepercayaan yang lebih besar dan diperkukuh menerusi multilateralisme. PBB mampu menjadi bahtera untuk bawa kita dari rasa putus asa ke masa depan yang lebih cerah, dari ketidakpastian kepada keyakinan, dan daripada kelemahan kepada daya tahan,” katanya.
Pada masa sama, konsep Madani juga diperkenalkan Anwar atas kebimbangan terhadap kemunculan bentuk perkauman baharu atau rasisme baharu menerusi xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam serta menyifatkan perbuatan membakar al-Quran adalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan untuk mencetuskan kebencian.
Atas kebimbangan itu juga, Anwar terus menggesa komuniti antarabangsa menghentikan hipokrasi dalam isu Palestin sebaliknya terus melaungkan suara yang kuat sebagai manifestasi menentang kekejaman berterusan terhadap rakyat negara berkenaan.
Beliau juga menyatakan komitmen untuk meneruskan hubungan rakyat yang sedia ada dengan Afghanistan termasuk menerusi bantuan kemanusiaan serta menyeru agar hak wanita dan kanak-kanak serta akses terhadap pendidikan di Afghanistan terus dipelihara.
Isu kemanusiaan di Asia Tenggara turut tidak ketinggalan apabila Anwar menyeru Myanmar segera laksana Konsensus Lima Perkara ASEAN bagi mencapai keamanan dan kestabilan di negara tersebut.
Selain itu, Anwar turut menyentuh soal perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi global, ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi, keadaan kewangan yang mencabar dan jurang pendapatan.
Dalam khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York, Anwar turut menyentuh kejayaan masyarakat Malaysia yang hidup berbilang kaum dan agama serta mencapai kehidupan yang damai dan harmoni boleh dijadikan contoh kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di AS.
“Kami sentiasa cuba menggalakkan persefahaman, toleransi dan keperluan untuk memahami budaya dan agama orang lain. Ia penting bagi kami untuk hidup rukun damai dan harmoni,” katanya.
Sementara itu, dalam sesi dialog bersama diaspora dan pelajar-pelajar Malaysia di New York, Anwar menyentuh pelbagai isu antaranya soal bakat dan pakar dari luar negara, kewarganegaraan, reformasi politik, seni dan budaya serta jurang pendapatan. – UTUSAN










